Berita

Anwar umum bakal tambah Dana Komuniti MADANI RM2 bilion

- Diterbit 25 November 2023 7:08 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa Dana Komuniti MADANI sebanyak RM1 bilion yang dibentangkan menerusi inisiatif Belanjawan 2024 bakal ditambah kepada RM2 bilion sekiranya pelaksanaannya yang memberi fokus meningkatkan taraf ekonomi rakyat dilaksanakan dengan berkenaan.

Bercakap mengenai perkara itu, Perdana Menteri berkata inisiatif itu bagi membantu setiap kampung dan penempatan komuniti menjalankan kegiatan ekonomi.

“Bukan pegawai kementerian yang akan luluskan projeknya, tetapi kerajaan akan bagi wang ini kepada penghulu, penggawa atau jawatankuasa kampung yang akan memutuskan apakah projek ekonomi untuk kampung mereka. 

“Ini kali pertama kita laksanakan bukan untuk tujuan membaiki jambatan atau masjid, itu peruntukan lain, yang ini hanya untuk tujuan aktiviti ekonomi seperti tanam sayur atau membuat kraftangan yang diputuskan oleh mereka sendiri,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD) di Putrajaya hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zulkapli Mohamed dan Ketua Setiausaha, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ramlan Harun.

Menjelas lanjut, Anwar berkata seluruh agensi dan jabatan bawah kementerian perlu mengambil perhatian berhubung inisiatif untuk membantu mana-mana jawatankuasa komuniti dalam melaksanakan aktiviti ekonomi itu.

KKDW dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan ditugaskan untuk memantau pelaksanaan dan perjalanan inisiatif berkenaan.

Ia merupakan pendekatan pertama seumpamanya yang dilaksanakan di negara ini sekali gus bakal memberi manfaat kepada puluhan juta rakyat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas