Berita

Anwar tiba di Sadao untuk lawatan kerja sehari

- Diterbit 27 November 2023 6:23 AM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand bagi lawatan kerja sehari untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan kerjasama diantara Malaysia-Thailand.

Beliau yang disambut rakan sejawatnya, Srettha Thavisin akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Srettha disusuli mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Thailand.

Kedua-dua pemimpin berkenaan dijadual akan melawat tapak Projek Jajaran Jalan Menghubungkan Pusat Pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia dan CIQ Sadao, Thailand serta Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Wisma Putra dalam kenyataannya hari ini turut memaklumkan, lawatan tersebut dilakukan susulan persetujuan yang dicapai semasa lawatan Srettha ke Malaysia pada 11 dan 12 Oktober lalu.

Menurut kenyataan itu, ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao merupakan sempadan penting kedua-dua negara dan antara pintu keluar dan masuk utama perdagangan dan pelancongan dua hala antara Malaysia dan Thailand.

Tambah kenyataan itu, lawatan berkenaan memperlihatkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan yang baik dan erat antara dua negara berjiran, terutama dalam pembangunan bersama di sempadan.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas