Berita

Anwar tiba di Brunei untuk lawatan kerja

- Diterbit 26 Ogos 2024 11:35 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bandar Seri Begawan malam semalam untuk lawatan kerja dua hari bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 (ALC-25) Malaysia dan Brunei.

Beliau berkata ALC-25 yang berlangsung di Istana Nurul Iman hari ini merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei.

“Lawatan ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk meningkatkan lagi kerjasama bilateral dalam mencapai matlamat bersama selain membincangkan isu-isu terkait,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin turut mengiringi Anwar dalam lawatan kerja ke Brunei.

Beliau berkata dalam lawatan itu, Anwar diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Turut menyambut ketibaan Anwar ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei, Dato Seri Setia Dr Awang Mohd Amin Liew Abdullah serta Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof.

Hari ini, Anwar dijadual menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan mengadakan pertemuan empat mata di Istana Nurul Iman. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas