PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat rakan sejawatnya dari Lubnan, Najib Mikati di Riyadh, Arab Saudi sebelum Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam.
Menurutnya, dalam pertemuan tersebut, beliau nyatakan sokongan berterusan Malaysia terhadap Lubnan yang kini berdepan kegilaan rejim Zionis Israel.
“Malaysia juga terkesan secara langsung dengan ketegangan di Lubnan susulan insiden serangan Israel sehingga mengakibatkan enam anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) yang menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) tercedera,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri turut memaklumkan kepada Najib bahawa Malaysia bersedia untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada Lubnan untuk membantu mangsa yang terkesan akibat serangan Israel. – WILAYAHKU