PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama lebih 2,000 jemaah hari ini menunaikan solat jenazah ghaib untuk pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh yang terbunuh dalam serbuan rejim Zionis di kediamannya di Tehran, Iran, kelmarin.
Solat itu dilakukan selepas solat Jumaat di Masjid Negara, Kuala Lumpur yang diimamkan Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.
Turut serta dalam solat itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Anwar dan jemaah yang hadir turut mendengar khutbah khas sempena Hari Pahlawan bertajuk Perjuangan Demi Nusa Tercinta.
Semalam, Mohd Na’im berkata semua masjid bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diminta melakukan solat jenazah ghaib ke atas Ismail Haniyeh yang syahid dalam serangan di Iran.
Mohd Na’im berkata perincian mengenai perkara itu akan dibuat oleh JAKIM dan JAWI.
Media Iran melaporkan, Ismail terbunuh dalam serangan udara Israel menyasarkan kediamannya di utara Tehran, pada kira-kira 2 pagi waktu tempatan, 31 Julai.
Ismail berada di Tehran untuk majlis pelantikan presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian. – WILAYAHKU