PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanjung keberanian dan kelantangan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Beliau berkata selain menjadikan Turki sebagai kuasa global, Erdogan juga berjaya membina reputasi sebagai perantara yang dipercayai dalam hubungan antara Eropah dan Asia Barat.
“Di pentas geopolitik, Erdogan telah mengangkat Turki sebagai kuasa global dan memperoleh reputasi sebagai perantara yang dipercayai untuk keamanan di Asia Barat dan urusan Eropah.
“Hari ini, Turki tidak hanya bertindak balas terhadap peristin ia membentuknya. Ini bukan kebetulan.
“Ia kerana Presiden Erdogan memahami bahawa sejarah tidak memandang tinggi kepada mereka yang lemah, ia menyebelahi mereka yang berani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Syarahan Umum Presiden Turki di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Sementara itu, Anwar turut mengimbau persahabatannya dengan Erdogan yang telah terjalin sejak sekian lama.
Menurut Anwar, Erdogan sering menghulurkan bantuan di saat sulit, ketika ramai yang memilih untuk berpaling.
Katanya, sokongannya bukan sekadar biasa atau bermotifkan kepentingan politik, sebaliknya lahir daripada persaudaraan yang tulen.
“Saya tidak akan terlepas untuk bercakap tentang keakraban saya dengan Presiden Erdogan, iaitu satu persahabatan yang dibina bukan atas kemudahan, tetapi atas solidariti yang teguh,” katanya. – WILAYAHKU