Fitnah vs Fakta

Anwar perkukuh dasar Islam

ANWAR mengingatkan semua pihak supaya memperkukuh dasar Islam khususnya dalam pendidikan.
- Diterbit 7 Mei 2025 1:34 PM MYT

SEBENARNYA agak berat tuduhan dilemparkan warganet apabila mendakwa kononnya negeri Pulau Pinang sedang ‘diambil alih’ oleh agama Kristian.

Mereka menuduh kononnya pemerintahan parti DAP di Pulau Mutiara itu telah membenarkan penyebaran Kristian secara senyap-senyap di mana ia bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara kita.

Hal ini juga diungkit susulan Pulau Pinang dipimpin Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dari DAP yang sedang mengetuai kerajaan yang ditadbir Pakatan Harapan bersama Barisan Nasional.

Tuduhan ini secara tidak langsung menunjukkan seolah-olah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘membiarkan’ perkara ini berlarutan.

Tampil membidas dakwaan tersebut, Anwar sedar cerita rekaan itu tersebar apabila ada yang menganggap pengaruh parti politik Cina merupakan ancaman kepada kerajaan.

“Ya ampun, saya orang Pulau Pinang. Kamu sebar dakwaan itu tetapi mengapa kamu tak timbulkan apa pula yang baik tentang mereka?

“Ada orang jahat dalam kalangan Cina, Melayu dan India. Jadi apa? Pilih dan ikut orang baik selaras hati nurani dan nilai kita,” katanya pada Dialog Tamadun Antarabangsa 2025 di Universiti Malaya, baru-baru ini.

Anwar juga beri peringatan bahawa menyebar kebencian terhadap mana-mana kaum akan menghancurkan masyarakat Malaysia yang majmuk.

“Kita gagal bukan kerana berkawan dengan orang bukan Melayu. Kita gagal kerana menyokong pemimpin rasuah,” katanya.

Dalam masa yang sama, masyarakat perlu ingat kembali bahawa Anwar amat memberi penekanan terhadap kepentingan memperkukuh dasar Islam khususnya dalam pendidikan dan beberapa ikhtiar kerajaan untuk membina kekuatan dalaman umat Islam.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah sebelum ini berkata perkara itu dinyatakan Perdana Menteri ketika meraikan kunjungan rombongan pondok dan madrasah dari Kelantan di Pejabat Perdana Menteri.

“Perdana Menteri menghargai pandangan para tuan guru yang menyampaikan nasihat khususnya dalam soal pendidikan turath serta idea memperkasa peranan institusi pondok di Malaysia,” katanya.

Tunku Nashrul berkata demikian pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, baru-baru ini.

“Selain (itu) titipan nasihat tuan guru terkait usaha memperteguh semangat memupuk kefahaman, kasih sayang, memadamkan kebencian dan sabar dalam gesaan agar penjelasan yang bersungguh-sungguh mengenai ikhtiar kerajaan Madani kepada rakyat mengenai Islam disampaikan,” katanya.

Tunku Nashrul menambah Perdana Menteri dan agamawan yang turut serta dalam perbincangan itu juga bersetuju, bahawa banyak perkara boleh disepakati khususnya dalam isu Islam, berbanding membesarkan perbezaan pendapat atau pandangan.

Jadi jelaslah bahawa Anwar sangat menekankan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat, mana mungkin beliau membenarkan Kristian mengambil alih Pulau Pinang. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas