Berita

Anwar menonjol di pentas dunia

Foto: Facebook Anwar Ibrahim
- Diterbit 22 November 2024 5:29 PM MYT

LAWATAN rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara disifatkan sebagai lawatan perhubungan awam (public relation) yang membawa kesan jangka masa panjang yang positif kepada negara,” ujar pakar ekonomi, Profesor Emiritus Dr Barjoyai Bardai.

Beliau berpandangan dengan adanya lawatan, maka hubungan diplomatik antara negara dapat diperkukuh sekali gus memberi kesan ekonomi yang baik.

“Melalui pendekatan ini, menjadikan beliau semakin dikenali di seluruh dunia dan dalam masa sama dapat terus meneroka lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi.

“Bukan hanya menjalinkan hubungan yang rapat di antara perdana menteri dan perdana menteri, tetapi beliau berjaya menarik minat negara-negara luar untuk melabur serta memberikan komitmen.

“Misalnya lawatan tiga hari ke Pakistan pada Oktober lalu turut memberikan komitmen untuk meningkatkan import minyak kelapa sawit dan sebagainya dari Malaysia,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Menepis dakwaan sesetengah pihak yang menganggap perdana menteri kali ini gemar ‘makan angin’, Barjoyai berkata, setiap perdana menteri mempunyai gaya yang berbeza dan tidak boleh disalahertikan.

“Disebabkan beliau sering terlibat dalam rangka lawatan rasmi, maka kita sendiri dapat lihat beliau mempunyai ramai kenalan dalam kalangan pemimpin-pemimpin besar dunia.

“Ia berbeza jika dibandingkan dengan sesetengah pemimpin sebelum ini yang lebih dilihat sebagai perdana menteri tempatan sampaikan negara luar tak kenal,” ujarnya.

Tambah beliau yang merupakan pakar dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), tindakan Anwar menjadikan beliau seorang pemimpin yang menonjol dan membawa pelaburan besar kepada negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata Malaysia mempunyai prospek yang besar dalam industri elektrikal dan elektronik (E&E) dan semikonduktor di mana industri E&E yang diperkenalkan di negara ini sejak 1970-an menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara.

“Sektor semikonduktor menjadi tonggak penting selain sektor perkilangan, barang-barang pengeluaran kerana kita telah mempunyai teknologi yang kukuh untuk mengeluarkan peralatan kilang dan sebagainya.

“Sektor semikonduktor merupakan tulang belakang teknologi kita, selain itu, dalam bioteknologi dan kesihatan, kita juga membangun dengan cepat, di mana dapat dirumuskan kita sedang maju ke hadapan,” ujarnya.

Terdahulu, dalam lawatan ke Brazil, Anwar menggesa industri E&E dan semikonduktor Malaysia dan Brazil memanfaatkan kekuatan satu sama lain serta meningkatkan kerjasama berikutan Selatan Global memainkan peranan penting. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas