Berita

Anwar marah Harakah, gambar berlatarbelakangkan bendera Israel

Kredit foto: Youtube Parlimen Malaysia
- Diterbit 7 November 2023 3:44 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berang apabila paparan gambar beliau memperlihatkan dibelakangnya terdapat imej bendera Israel yang di muat naik oleh Harakah, portal rasmi Parti Islam Semalaysia (PAS).

Jelasnya, beliau terbuka terhadap apa jua kritikan dan cercaan pembangkang dalam apa jua isu, namun dalam soal Palestin ini tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya.

“Mengapa saya marah? Gambar saya dibelakangnya bendera Israel, Yang Berhormat (YB) harus faham yang YB juga keras dan marah dengan Israel, sayapun begitu. Tidak apa hendak tegur, hendak marah, kritik saya dalam soal lain saya terima dengan baik.. tetapi dalam hal ini, jangan.

“Jika penjelasan dibuat itu, saya ucapkan terima kasih dan kita boleh bergerak ke depan,” katanya ketika sesi PMQT di parlimen hari ini.

Sebelum itu, Datuk Ahmad Saad@Yahaya (PN-Pokok Sena) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 dengan meminta Perdana Menteri menarik semula perkataan biadab dan kurang ajar yang ditujukan kepada Dewan Ulama PAS.

Ahmad merujuk kepada laporan akhbar Harakah bertajuk ‘Malaysia di bawah Anwar ragu-ragu sokong Palestin?’ yang disifatkannya sebagai persoalan dan bukan tuduhan dan terdapat gambar Perdana Menteri yang berlatarbelakangkan bendera Israel.

Perdana Menteri kemudian menjelaskan yang beliau marah terhadap paparan gambar berlatarbelakangkan bendera Israel dan ia perlu diperbetulkan Harakah.

Anwar turut menyeru semua pihak termasuk pembangkang untuk bersama membawa idea baharu dalam isu Palestin bagi mengurangkan penderitaan yang sedang ditanggung rakyat negara itu.

“Saya tidak pernah menyinggung PAS kerana saya tahu pendirian PAS, sangat konsisten dalam Palestin.. tidak mahu berbalah dalam soal ini kerana derita ditanggung mereka (Palestin) tidak pernah berlaku separah ini dalam sejarah.

“Mari kita bersama membawa idea dan tindakan supaya dapat meleraikan atau mengurangkan beban mereka,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas