TERPANCAR wajah kegembiraan para peniaga Pusat Penjaja Madani, Jalan Tuanku Abdul Rahman(TAR) ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan Sesi Temu Mesra, hari ini.
Ketika sesi lawatan itu, beliau mengambil peluang beramah mesra dan mengambil gambar kenangan dengan para peniaga dan kemudiannya menikmati hidangan pagi di salah sebuah gerai di pusat penjaja berkenaan.
Turut hadir pada sesi lawatan itu adalah Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh
Dalam pada itu, sesi Temu Mesra itu juga diadakan untuk meninjau kerja-kerja naik taraf yang telah dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi program Lestari Niaga@Kuala Lumpur di lokasi tersebut.
DBKL berkata,kerja-kerja naik taraf yang telah dijalankan melibatkan pengindahan fasad serta sistem lampu limpah, pertukaran dan penambahbaikan bumbung, kerja-kerja cat semula struktur bumbung dan dinding tepi, pendawaian semula, penggantian semula kipas dan lampu di ruang yang sama termasuk penggantian paip air yang pecah.
“Kerja-kerja naik taraf ini bermula sejak Mac lalu dan siap sepenuhnya pada bulan April tahun ini.,” jelas DBKL.
DBKL juga berharap agar kerja-kerja naik taraf ini akan memberikan keselesaan kepada penjaja untuk berniaga di samping pengujung boleh menikmati juadah yang berkonsepkan medan selera yang lebih vibrant dan kondusif. – WILAYAHKU