Berita

Anwar lawat mangsa banjir di Setiu

- Diterbit 1 Disember 2024 11:03 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS), Sekolah Kebangsaan Mangkok, Setiu yang menempatkan 372 mangsa banjir.

Beliau selepas itu terus ke kawasan sekitar yang masih terjejas dengan musibah banjir di kawasan tersebut.

“Sewaktu menyantuni mangsa banjir, ada yang berkongsi pengalaman masing-masing.

“Saya sempat memaklumkan kerajaan akan sentiasa membantu meringankan beban yang dihadapi termasuk dari segi bantuan kewangan dan juga dari sudut pembaikan serta pemulihan infra rakyat,” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, Anwar berkata kepada kesemua pegawai dan anggota dari pelbagai agensi pengurusan bencana, sekalung penghargaan di atas kebersamaan dan keterlibatan dalam membantu mangsa-mangsa banjir.

Beliau turut mendoakan kesemua mangsa banjir, baik di Terengganu dan negeri-negeri lain yang terlibat diberi ketabahan selain sentiasa berhati-hati dalam menghadapi bencana banjir yang sedang melanda negara.

“Dititipkan doa agar keadaan akan kembali pulih dan rakyat yang terjejas dapat meneruskan kehidupan seperti sediakala,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas