PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk menaikkan kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Katanya, ia bertujuan mengurangkan beban rakyat bagi menampung kesan pelaksanaan subsidi bersasar yang dilaksanakan kerajaan.
“Saya beri jaminan. Anda kata sebabkan penarikan subsidi berlaku dan beri kesan kepada rakyat, kita akan tambah STR bagi rakyat supaya dapat menampung kerugian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam Ucapan Dasar di Kongres Nasional PKR (KEADILAN) 2023 di Putrajaya malam tadi.
Ujar beliau, kepimpinan kerajaan perlu turun padang untuk menjelaskan kepada rakyat berhubung inisiatif dan langkah yang dibuat kerajaan.
Ini termasuk isu berkaitan pengurangan subsidi pukal yang dilihat tidak relevan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam pada itu, Anwar menggesa agar seluruh kepimpinan dan perwakilan parti bersatu demi mendepani sentimen kaum dan agama yang kerap dimainkan sesetengah pihak.
Ujarnya, bibit takfiri (kafir-mengkafir) dalam kalangan orang Melayu mulai meningkat disebabkan mainan persepsi dengan mengatakan ‘Islam terancam’ berhubung isu Petisyen Nik Elin Zurina yang mempertikaikan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan.-WILAYAHKU