Berita

Anwar bidas pihak pertikai usaha kerajaan pulih semula Gaza

Foto: BERNAMA
- Diterbit 1 Februari 2025 4:28 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak tertentu yang mempersoalkan inisiatif Malaysia untuk membantu memulihkan semula Gaza.

Beliau kecewa apabila usaha murni itu tidak disenangi oleh pihak tertentu bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya sentiasa menghulurkan bantuan terutama kepada saudara seagama mengikut keupayaan.

“Inilah malapetaka paling dahsyat yang menimpa umat Islam, umat manusia. Ada pula golongan yang kononnya cerdik, pemimpin-pemimpin lama dulu berkata sekolah kita pun tak selesai nak tolong orang lain. Ini perasaan hati manusia bagaimana ini.

“Kita tolong orang kampung lain, boleh kata (masalah) kampung kamu pun belum selesai. Dalam Islam tidak pernah fikir begitu,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Kenduri Rakyat di luar pekarangan Masjid Al-Muttaqin Taman Meru.

Anwar berkata, melalui Projek Bandar Wakaf yang diumumkan itu Malaysia akan membina masing-masing sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk di Gaza.

Menurut Anwar, kerajaan Malaysia dan Jepun juga sepakat membina semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

Pada Khamis lalu, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dilaporkan berkata pemimpin negara perlu memberi keutamaan kepada keperluan rakyat, sebelum memulakan rancangan untuk membangunkan semula Gaza yang musnah akibat serangan rejim Zionis.

Rafidah dalam kenyataan tersebut berkata, perhatian perlu diberikan kepada negara terutamanya kepada keadaan yang menyedihkan seperti masalah di sekolah dan hospital kerajaan luar bandar serta tempat ibadat.

Sementara itu, Anwar berkata sejak Perang Dunia Kedua hingga kini, insiden di Gaza merupakan malapetaka yang paling dahsyat menimpa umat Islam dan manusia, apabila Palestin hancur lebur dan terus dihina tanpa diberikan sebarang pengiktirafan.

“Anak kecil, wanita, sekolah, habis dimusnahkan dan apabila kita nak tolong sedikit, apa jawapan mereka.

“Saudara, sampai kiamat pun masalah-masalah dalam negara tidak mungkin selesai, ada sahaja yang kurang di mana-mana, tetapi kita lakukan sedikit,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas