Berita

Anwar ajak rakyat nyatakan solidariti dalam Himpunan Palestin di Bukit Jalil

ANWAR dijangka akan menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan itu untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin. Foto: SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri
- Diterbit 4 Ogos 2024 12:26 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia bersama-sama menyatakan solidariti dalam Himpunan Pembebasan Palestin yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Beliau dijangka akan menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan itu untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin, bersama beberapa pemimpin lain.

“InsyaAllah hari ini kita bersama-sama nyatakan solidariti, sokongan dan dukungan berterusan kepada rakyat Palestin.

“Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Dijadual bermula pada 6 petang, himpunan itu antara lain bagi menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.

Antara program yang diatur ialah Pidato Solidariti Palestin, solat maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas dan diakhiri dengan doa Qunut Nazilah.

Semalam, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mensasarkan sehingga 20,000 peserta yang akan menghadiri perhimpunan untuk menyatakan solidariti kepada rakyat dan negara Palestin.

Fahmi menggesa semua pihak yang ingin menyertai himpunan kedua anjuran kerajaan itu untuk mengenakan pakaian serba putih.

Pada 24 Oktober tahun lepas, Himpunan Malaysia Bersama Palestin diadakan di Axiata Arena yang menghimpunkan pemimpin politik Kerajaan Perpaduan dan pembangkang bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin.

Lebih 15,000 rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa telah menghadiri himpunan itu bagi menyampaikan mesej kepada dunia dan menunjukkan solidariti terhadap Palestin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas