PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Pakistan bermula esok sehingga 4 Oktober ini.
Lawatan itu adalah atas jemputan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.
Menurut Wisma Putra, ia juga perjumpaan rasmi pertama antara kedua-dua pemimpin sejak Anwar menjadi Perdana Menteri pada November 2022.
Perdana Menteri akan disambut dengan majlis sambutan rasmi sebelum mengadakan pertemuan dua hala dengan Shehbaz.
“Mesyuarat tersebut dijangka digunakan untuk membincangkan kerjasama dua hala sedia ada serta inisiatif bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan susulan Perkongsian Strategik yang telah dipersetujui pada 2019.
“Pertemuan ini juga akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Wisma Putra menambah, kedua-dua pemimpin dijangka menyaksikan pemeteraian dan pertukaran dua dokumen, iaitu antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan (TDAP).
Satu lagi melibatkan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan (TPA).
Acara itu akan disusuli dengan pelancaran tiga buku penyair terkenal Pakistan, Allama Muhammad Iqbal, yang diterjemahkan dari bahasa Parsi, Urdu dan Inggeris, ke Bahasa Melayu.
“Perdana Menteri dijadual menyampaikan syarahan di National University of Sciences and Technology (NUST) dan akan dianugerahkan doktor kehormat falsafah oleh universiti tersebut.
“Seterusnya Perdana Menteri akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari disusuli majlis jamuan negara.
“Presiden Pakistan dijangka menganugerahkan darjah kebesaran tertinggi Pakistan, Nishan-e-Pakistan kepada Perdana Menteri sewaktu beliau di Istana Presiden,” katanya.
Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Pada 2023, jumlah dagangan Malaysia dan Pakistan mencatatkan angka RM7.84 bilion dengan penurunan dagangan sebanyak 18 peratus berbanding 2022.
Dagangan termasuk minyak kelapa sawit, pakaian, tekstil, kimia dan produk berasaskan kimi dan barangan elektrik dan elektronik.
Pakistan merupakan rakan dagangan ke-35 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-31 terbesar dan sumber import ke-41 terbesar.
Pakistan juga merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia di kalangan negara Asia Selatan.
Malaysia merupakan rakan dagangan ke-14 terbesar Pakistan dan destinasi eksport, dan sumber import ke-15 terbesar.
Pada Jun 2024, terdapat seramai 4,666 pelajar Pakistan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia. – WILAYAHKU