PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping di Great Hall of The People sebagai simbolik mengakhiri lawatan kerjanya ke negara tersebut
Menerusi hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri yang mengetuai delegasi Malaysia, menzahirkan penghargaan tertinggi atas layanan luar biasa dan keikhlasan persahabatan yang dihulurkan oleh kedua-dua pemimpin, Presiden China dan Perdana Menteri Li Qiang.
“Saya turut nyatakan terima kasih atas sokongan Presiden Xi terhadap penyertaan Malaysia dalam BRICS sewaktu di Kazan tempoh hari,” katanya.
Perdana Menteri turut menyatakan komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara yang mencecah usia 50 tahun.
” Malaysia bersedia untuk memperkukuh persahabatan dan kerjasama dalam perniagaan, ekonomi dan pelaburan terutama dalam teknologi digital, tenaga dan pendidikan.
“Saya juga menyatakan penghormatan atas ucapan berbisa Presiden Xi di persidangan BRICS terkait perkongsian masa depan. Komitmen Presiden Xi cukup mengesankan dalam kalangan negara Global South,” katanya.
Tambahnya, beliau turut menghargai semangat Jin Ping untuk mengangkat martabat rakyat terpinggir dan menjulang nilai kemanusiaan.
Menjelang kepengerusian Malaysia dalam ASEAN, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Malaysia bersedia memperkukuh hubungan serantau, terutamanya menerusi penganjuran sulung Sidang Kemuncak ASEAN GCC+China.
“Saya langsung menjemput Presiden Xi untuk menghadiri persidangan di Malaysia tahun depan.
“Usai kunjungan hormat, saya dan delegasi Malaysia diberi penghormatan untuk menghadiri makan malam bersama Presiden Xi dan delegasi China, sebelum kami berangkat pulang ke tanah air,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata lawatan kerja kali ini cukap bermakna dan memberi kesan mendalam terhadap persahabatan erat Malaysia-China, serta hubungan peribadi saya dengan kedua-dua pemimpin China tersebut.
“Hasil kunjungan ini, sama ada membabitkan hubungan dua hala mahupun pelaburan dan perniagaan akan melimpahkan manfaat dan kemakmuran buat rakyat dan negara, Insya-Allah,” katanya. – WILAYAHKU