Berita

Anta Permana nyanyian Siti Nurhaliza lagu kegemaran Raja Charles III

- Diterbit 10 Mac 2025 11:02 PM MYT

SIAPA sangka lagu Anta Permana nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza membanggakan negara apabila menjadi antara pilihan  Raja Charles III untuk dimasukkan dalam senarai ‘playlist’ peribadinya.

Bukan calang-calang, Siti yang juga penyanyi nombor satu negara itu tersenarai bersama nama-nama besar seperti Beyonce, Bob Marley, Kylie Minogue dan Grace Jones, sekali gus membuktikan keunikan muzik Nusantara turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Lagu Anta Permana itu menjadi sebahagian daripada program The King’s Music Room di Apple Music, yang menghimpunkan karya dari negara-negara Komanwel sebagai meraikan kepelbagaian muzik dunia.

Anta Permana merupakan lagu ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini yang diluncurkan pada tahun 2018.

Senarai lagu yang dipilih menggambarkan selera muzik baginda yang luas, merangkumi pelbagai era dan genre seperti Afrobeats, reggae serta pop kontemporari.

“Sepanjang hidup, muzik memberi makna besar buat saya.

“Itu semua bukan sekadar hiburan, tetapi mampu mengembalikan kenangan, memberi ketenangan dan menyatukan kita dalam kegembiraan,” titah Raja Charles dalam siaran khas itu.

Rakaman The King’s Music Room berlangsung di Istana Buckingham dan memaparkan perjalanan muzik yang membentuk pengalaman serta memori peribadi baginda. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas