Berita

Annuar, Uncle Kentang fokus bantu warga Wilayah Persekutuan

ANNUAR, Kuan berbincang isu kebajikan masyarakat kota.
- Diterbit 23 Februari 2021 6:29 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa hari  ini mengadakan pertemuan dengan aktivis sosial, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Pertemuan yang berlangsung selama dua jam itu membincangkan nasib warga Wilayah Persekutuan yang bertarung masalah kehidupan.

Antara kes utama yang dibincangkan ialah nasib seorang warga emas yang tinggal seorang diri dalam keadaan daif di dalam kawasan semak di Salak Selatan, Kuala Lumpur.

Kes tersebut perlu perhatian segera kerana warga emas itu tinggal di sana selama tiga tahun dan kawasan semak itu dipenuhi haiwan berbisa seperti ular serta lipan.

Selain itu, Kuan turut mengucapkan terima kasih bagi pihak ibu tunggal yang ramai menjalankan perniagaan kecil sekitar Kuala Lumpur.

“Kebenaran menjaja yang Tan Sri berikan kepada penjaja ibarat memberi nyawa kepada mereka,” katanya.

Menurut Kuan, penjaja berniaga demi kelangsungan hidup, bukan mereka mengejar kekayaan semata-mata.

“Kebanyakkan mereka berniaga demi menyediakan keperluan keluarga dan anak-anak, ada yang berniaga untuk membeli lampin pakai buang, susu dan makanan,” katanya.

Justeru kaatanya, arahan yang membenarkan penjaja berniaga di kawasan sekitar Kuala Lumpur amat membantu warga kota yang kesusahan.

Kuan turut memberi ringkasan maklumat tentang kerja amal dilakukannya melibatkan ambulans dan van jenazah.

Annuar Musa sebelum ini menyatakan komitmennya untuk membantu warga Wilayah Persekutuan yang memerlukan.

Bagi tujuan tersebut, Annuar mengadakan perjumpaan dengan pelbagai NGO yang aktif membantu rakyat bagi membincangkan kaedah terbaik serta mendapatkan gambaran lebih tepat tentang permasalahan rakyat. – NUR SURAYA ALI – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas