Berita

Anjung Singgah: 6,221 gelandangan dibantu dapatkan pekerjaan

- Diterbit 13 November 2024 12:52 PM MYT

SERAMAI 6,221 daripada 9,685 orang gelandangan yang mendaftar masuk dan mendapatkan perkhidmatan di Anjung Singgah telah dibantu mendapatkan pekerjaan bersesuaian.

Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), jumlah selebihnya pula telah kembali ke pangkuan keluarga atau dirujuk kepada jabatan, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bagi bantuan susulan.

“Sehingga kini terdapat lima buah Anjung Singgah telah ditubuhkan di bandar-bandar besar iaitu di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching dan Ipoh.

“Sehingga Ogos 2024, seramai 9,685 orang gelandangan direkodkan telah mendaftar masuk dan mendapatkan perkhidmatan di semua Anjung Singgah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

KPWKM menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai usaha kerajaan mengurangkan masalah gelandangan di bandar-bandar besar.

KPWKM memberitahu, Anjung Singgah diwujudkan kementerian melalui Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKN) yang berperanan sebagai pusat rujukan bantuan sosial dan intervensi kepada golongan gelandangan produktif.

Katanya, perkhidmatan yang disediakan meliputi tempat penginapan sementara, makan minum, saringan awal kesihatan, program pemantapan jati diri dan intervensi kaunseling.

Malah ia juga berperanan sebagai rujukan bantuan sosial dan bantuan pekerjaan melalui kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta NGO berkaitan.

“KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga bertanggungjawab untuk mengambil orang papa iaitu pengemis dan peleser berdasarkan peruntukan di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977.

“Dalam Operasi Mengambil Secara Bersama, setiap agensi akan mengenal pasti orang papa yang diambil untuk disusuli tindakan lanjut sewajarnya mengikut bidang kuasa agensi masing-masing.

“Operasi tindakan bersepadu ini melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Agama Islam dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Jelas kementerian itu, pihaknya turut mengambil pendekatan usahasama dengan pelbagai pihak bagi menangani isu gelandangan dan membantu golongan ini menjalani kehidupan yang lebih sejahtera melalui penyediaan tempat tinggal sementara.

Katanya, antara program usahasama sedia ada bersama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah seperti Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL) dan Rumah Bimbingan Gelandangan Kuala Lumpur.

Menurut KPWKM, bagi perancangan jangka panjang ke arah pewujudan perundangan yang lebih holistik melibatkan gelandangan, KPWKM menjalankan Kajian Semakan Semula Akta Orang-Orang Papa 1977.

“Dapatan kajian ini akan diguna pakai sebagai asas kepada penstrukturan semula dan perincian mekanisme pengendalian isu orang papa, pengemisan dan gelandangan yang holistik agar kebajikan mereka dapat dilindungi dalam semua aspek.

“Meskipun usaha bagi mengurangkan gelandangan tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah ini, namun inisiatif berterusan masih diperlukan melalui kerjasama dengan semua pihak bagi membantu golongan gelandangan agar dapat diintegrasikan semula ke dalam masyarakat seperti mana hasrat kerajaan dalam menangani isu gelandangan di negara ini,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas