Berita

Anggota RELA didakwa cuba bunuh anak saudara rakan baik

ONG Chow Lee didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh Teo Hock Beng yang merupakan anak saudara rakan baiknya itu. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 5 Ogos 2021 7:01 AM MYT

ANGGOTA Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang didakwa atas pertuduhan membunuh rakan baiknya semalam, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cubaan membunuh.

Ong Chow Lee, 57, didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh Teo Hock Beng, 45, yang merupakan anak saudara rakan baiknya itu.

Tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Noriah Osman.

Ong didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bangsal, belakang tokong Cina, bersebelahan dengan pondok KRT, Taman Raya Wakaf Tapai di sini, pada 1.55 petang 23 Julai lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 17 Okt ini untuk pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semalam, Ong didakwa di Mahkamah Majistret Marang atas pertuduhan membunuh Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Fong Swee Fuan, 65, pada lokasi dan waktu sama. — BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas