ANAK kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurul Hidayah menafikan dakwaan beliau dan keluarga melindungi pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang mengupah 10 peguam bela dalam kes penderaan remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella.
Menerusi hantaran di Instagramnya, Nurul Zahid meluahkan apa sebenarnya hubungan antara keluarganya dan Siti Bainun.
Baginya, luahan tersebut bukan mahu mengaibkan sesiapa tetapi lebih kepada mempertahankan maruah keluarga yang tercalar apabila tertuduh atau OKT (Orang Kena Tahan) iaitu Siti Bainun dikatakan anak angkat Zahid Hamidi.
“Saya tidak pernah membuat kenyataan saya tidak mengenali OKT. Kenyataan saya adalah kami sekeluarga tiada kena mengena dengan OKT. Atau dengan pemahaman lain, kami sekeluarga tidak pernah melindungi OKT.
“Benar kami pernah kenal dan rapat. Sebagai seorang yang pernah rapat saya merasakan dikhianati kerana selama ini OKT yang saya anggap sebagai insan yang suka membantu orang lain sebenarnya mempunyai satu lagi personaliti yang tidak terbayang dek akal saya.
“Saya tidak faham apakah motif dan fokus #justiceforbella sekarang ini? Untuk membuktikan siapa pelaku atau membuktikan siapa yang pernah rapat dengan OKT?” Katanya .

Dalam hantaran yang sama, Nurul Zahid juga turut memaparkan screenshot perbualan melalui whatsap antara dirinya dengan OKT.
“Screenshot daripada whatsapp saya dengan OKT diharap dapat menjelaskan keadaan yang saya juga telah ditanya oleh OKT ‘Kak Long (panggilan untuk Nurul) personal issue dengan saya ker?’, setelah satu posting dibuat pada tahun lepas di IG saya berkenaan Bella.
“Saya tidak memaksa untuk sesiapa mempercayainya. Tetapi cukuplah saya menjelaskan kami sekeluarga tidak pernah melindungi OKT,” jelasnya lagi.
Dalam sebuah lagi hantaran yang berbeza, Nurul memberitahu Siti Bainun yang dikenalinya dulu seorang yang suka melakukan kerja amal.
“Mengenali OKT pada suatu ketika dahulu, dia seorang yang peramah dan suka membantu orang dengan kerja-kerja amal yang dia lakukan.
“Gambar yang saya kongsikan ini adalah gambar OKT dengan Adik Bongsu saya di majlis bertempat di Sri Satria, kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri (TPM) di Putrajaya.
“Ketika ini OKT adalah salah seorang pekerja yg terlibat dengan kerja-kerja sokongan di Ibu Pejabat UMNO. Dalam majlis tersebut semua kakitangan pejabat TPM dan UMNO HQ turut hadir sebagai tetamu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nurul juga mengaku pernah cuba menjodohkan adik bongsunya dengan Siti Bainun.
“Beibg me, saya agak nakal untuk ‘kenenkan’ atau ‘match make’ adik bongsu saya dengan OKT. Adik saya seorang yang sangat baik, sangat rapat dgn keluarga dan tidak pandai bergaul dengan perempuan (agak pemalu).
“Apa yang berlaku selepas usikan demi usikan, mereka jadi rapat. Tetapi Allah lebih Maha Mengetahui.
“Hubungan mereka sering tegang dan menjadi semakin renggang,” tambahnya lagi.

Terdahulu, gara-gara foto yang tular, timbul dakwaan kononnya Siti Bainun adalah anak angkat kepada Zahid Hamidi.
Susulan dakwaan itu, Nurul menafikan sekeras-kerasnya Hal tersebut dan mereka sekeluarga menentang penderaan terhadap kanak-kanak istimewa itu. – WILAYAHKU