WK2

Anak sudah pandai buat aktiviti bersama keluarga – Salwa

SALWA mempunyai 3 orang anak istimewa yang terdiri daripada penyakit berbeza seperti masalah pembelajaran dan autisme.
- Diterbit 7 Mac 2022 8:00 AM MYT

MEMPUNYAI tiga orang anak istimewa sememangnya satu ujian yang tidak ternilai dari Illahi. Namun bagi Salwa Mohd Salleh, 38, dan suaminya, Dr Khairil Idham Ismail, pasangan ini menyifatkan, ketiga-tiga anak syurga mereka sebagai amanah yang tidak ternilai, meskipun berdepan dengan kesulitan untuk mendidik anak-anaknya.

Berkongsi kisahnya, Salwa menyedari anak pertama dan keduanya menghadapi masalah pembelajaran ketika memasuki alam persekolahan.

“Apabila anak sulung dimasukkan ke sekolah ketika darjah 1, kami mendapati perkembangan dia tidak sama
dan tidak boleh belajar seperti kawan-kawannya yang lain termasuk sukar untuk menulis menggunakan tangan.

“Apabila kami bawa bertemu dengan pakar psikitari kanak -kanak, anak saya telah di diagnos dengan penyakit yang dikenali sebagai Intellectual Difficulties manakala anak kedua pula menghidapi penyakit dislesksia dan berada di sekolah harian biasa.

“Anak yang ketiga, Israa’ berumur lapan tahun yang menghidap autisme merupakan pelajar di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Presint 9, Putrajaya,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Menurut Salwa, beliau merasa bertuah apabila anak ketiganya itu menunjukkan peningkatan sejak mula dimasukkan kedalam PPDK pada Disember 2018 lalu.

“Sebelum ini, dia jenis autisme yang tidak banyak bercakap dan sering menyendiri malah sekiranya mahu makan, dia hanya tunjuk sahaja.

“Setelah menjalani aktiviti di PDK, dia sudah pandai berkawan dan sudah boleh membuat aktiviti bersama-sama, malah sudah pandai hendak bergurau dengan ahli keluarga,” katanya.

Salwa berkata, sejak anaknya dimasukkan ke PPDK, anaknya kini mempunyai daya usaha untuk melakukan sesuatu perkara sendiri.

“Dia sudah pandai suap makanan sendiri dan ada rasa ingin mencuba melakukan sesuatu sendiri kerana sebelum ini dia tidak begitu,” katanya.

Ujar Salwa, anaknya juga turut aktif dan gembira untuk ke sekolah pada setiap pagi serta teruja untuk menjalani sesi terapi dan pembelajaran yang disediakan pihak PPDK.

ISRAA

“Di PPDK ada terapi, urutan, dan ada bahan-bahan terapi seperti trampolin dan dia dibenar untuk menggunakan semua kemudahan itu, jadi dia nampak lebih aktif dan cergas serta pegerakan dia juga lincah.

“Cumanya, dari segi pengurusan diri dia belum boleh melakukan termasuk mandi, memakai baju dan kita kena tolong buat termasuk apabila di tandas,” katanya.

Beliau berkata, PPDK ini berkonsepkan komuniti dan ibu bapa perlu bekerjasama dengan penyelia dan guru-guru di sekolah.

“Ibu bapa atau penjaga tidak boleh hanya menghantar anak namun pada masa sama tidak terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan.

“Ibu bapa perlu cakna dan berkolaborasi dengan semua aktiviti PDK termasuklah menjayakan sesuatu tugasan seperti program lawatan atau ceramah,” katanya.

Kata Salwa lagi, antara manfaat yang beliau dapati adalah penyelia PPDK di tempat anaknya itu mempunyai pengalaman 25 tahun dalam mengurus dan melatih anak-anak OKU ini.

“Rangkaian beliau agak luas dan ramai serta banyak program, kolaborasi yang dilakukan bersama-sama pihak luar dalam memberikan ilmu mengenai pengurusan anak-anak istimewa ini secara percuma.

“Selain itu, pelajar didalam bidang Fisioterapi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) inakan datang ke PPDK untuk
menjalani Latihan Industri setiap tahun untuk membantu dari sudut terapi.

“Jadi kolaborasi seperti itu memberi manfaat kepada anak-anak di PPDK kerana terapi itu dijalankan secara percuma oleh individu yang bertauliah dan pada masa sama, cikgu-cikgu turut boleh belajar cara dan keadah terapi yang betul.

“Selain itu, pihak PPDK turut mempunyai hubungan dengan klinik kesihatan serta klinik gigi dan mereka akan datang untuk membuat pemeriksaan secara berkala setiap bulan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas