ANAK muda dan pekebun kecil digesa untuk berani mencuba teknologi baharu dalam penggunaan baja di sektor pertanian memandangkan teknologi nano melibatkan penjimatan kos dan tenaga.
Malah ketika ini produk baja MQH Resources Sdn Bhd (MQH) atau dikenali sebagai FastGrow Fertilizer yang diusahakan oleh empat usahawan Bumiputera yang terdiri dalam kalangan anak muda telah berjaya menarik negara luar untuk menggunakannya.
Menurut Pengarah pemasarannya, Hamzah Hamid antara negara luar yang mengimport produk baja cecairnya itu adalah Thailand, Brunei dan Indonesia.
“Kalau negara luar hargai teknologi kita cipta kenapa pekebun Malaysia tidak lihat perkara ini secara mendalam. Apa saya harapkan pekebun membuka minda pelajari teknologi-teknologi baharu.
“Teknologi pertanian kita seperti penanaman padi sudah kehadapan dengan menggunakan dron tetapi dalam pembajaan kita masih guna teknologi lama sedangkan ada teknologi baharu yang boleh ubah sistem pembajaan,” katanya kepada Wilayahku.
Hamzah berkata demikian ketika ditemui di Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 pada 11 hingga 22 September lalu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia
(MAEPS).
Mengulas lanjut, Hamzah berkata pekebun kecil perlu berani berubah menggunakan baja secara konvensional kepada teknologi nano.
Beliau berkata teknologi nano bagus kerana tidak perlu membuang masa dan tenaga selain tidak merosakkan alam sekitar.
Sementara itu, Hamzah berharap kerajaan membantu permudahkan produk bajanya untuk dieksport ke luar negara supaya dapat mengembangkan lagi teknologi anak muda tempatan yang diusahakan bersama rakannya Muhammad Safwan Sidek ke luar negara.
“Pertanian masa ini sudah berubah dari segi masa dan tenaga kerana tidak perlu dikerah macam dulu. Hasilnya juga boleh bertahan lama. Kalau dulu perlu buat tiga dan empat kerja dalam satu masa.
“Masa ini hanya sekali sahaja tetapi hasilnya boleh digunakan dalam jangka masa panjang,” katanya.
Dalam pada itu, Safwan pula berkata orang muda perlu mengubah fikiran mereka terhadap teknologi nano dalam pembajaan kerana pertanian adalah sumber negara yang amat penting dan merupakan sumber utama.
“Orang muda kena fikir pertanian sudah berubah dan makanan merupakan sumber utama
negara.
“FastGrow Fertilizer berjaya menghasilkan dua produk baja cecair Fastgrow Fertilizer iaitu baja hijau dan merah sesuai untuk semua jenis tanaman khususnya kelapa sawit dan durian,” terangnya.
Baja tersebut diformulasikan dengan baja yang seimbang dan cekap bagi memberi kelebihan serta penekanan kepada pemulihan atau rawatan kepada pokok.
Formula khas baja itu dihasilkan untuk meningkatkan mutu dan kualiti hasil tanaman untuk jangka masa panjang. – WILAYAHKU