Utama

AMM sedia bantu Kementerian Kesihatan dalam pengurusan COVID-19

- Diterbit 20 Januari 2021 9:13 AM MYT

AKADEMI Perubatan Malaysia (AMM) yang mewakili lebih 3,000 pakar perubatan daripada sektor kerajaan, swasta dan akademik di seluruh negara bersedia untuk berkhidmat dan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan pelan pengurusan COVID-19, tanpa mengira tempat mereka bertugas.

AMM dalam satu kenyataan hari ini berkata akademi itu mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk melakukan libat urus dengan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta bagi mengurangkan beban hospital kerajaan dan para petugasnya.

“Jika kita gerakkan semua sumber penjagaan kesihatan kerajaan dan swasta, kita akan punyai cukup keupayaan menghadapi peningkatan pesakit secara mendadak bagi memastikan pandemik ini terkawal sehingga kita mencapai imuniti kelompok menerusi pemvaksinan yang meluas.

Kami berharap ini adalah langkah pertama dalam satu proses jangka panjang bagi menggabungkan sistem kesihatan kita dengan lebih baik untuk manfaat semua rakyat Malaysia, “ kata kenyataan itu.

AMM berkata banyak aspek yang perlu perhatian bagi memperkemaskan sistem penjagaan kesihatan kerajaan dan swasta termasuk kebimbangan mengenai kapasiti hospital untuk menampung pesakit COVID-19, dengan infrastruktur dan sumber manusia yang terhad, susun atur  unit rawatan rapi dan pakar dalam sektor penjagaan kesihatan swasta yang mereka sendiri mungkin tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi.

“Kami percaya semua perkara ini akan diambil kira dan berharap untuk melihat penyelesaian kreatif seperti staf perubatan dipinjamkan ke hospital swasta dan rujukan silang antara hospital.

Menyelaraskan kedua-dua sistem penjagaan kesihatan  ini bukan mudah tetapi kami yakin dengan keupayaan KKM dengan kerjasama Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dan semua pemegang kepentingan berkaitan untuk mencari penyelesaian terbaik sesuai untuk semua pihak,” kata kenyataan itu.

AMM berkata kerjasama sedemikian juga kena pada masanya berikutan peningkatan jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas hospital kerajaan.

“AMM melihat potensi besar di dalam perkongsian hospital kerajaan-swasta untuk mengurangkan risiko kepada barisan hadapan petugas kesihatan di masa hadapan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas