ALUMNI Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mengecam sekeras-kerasnya kes seorang pelajar Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) retak tulang rusuk dan belakang dipercayai dipijak senior.
Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata insiden itu jelas bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan prinsip keamanan yang seharusnya diterapkan dalam institusi pendidikan.
“Kejadian ini amat mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi sebagai tempat yang bertujuan membentuk generasi muda yang berilmu, berintegriti dan mempunyai jati diri yang tinggi.
“Budaya buli dalam kalangan mahasiswa tidak boleh diterima sama sekali, kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan fizikal pelajar, tetapi juga memberikan kesan buruk terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan komuniti kampus secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Amir, Alumni MPPK menyeru kepada semua mahasiswa di seluruh Malaysia agar menolak sepenuhnya budaya buli dan keganasan dalam apa jua bentuk.
Katanya, mahasiswa adalah pemimpin masa depan dan sikap bertanggungjawab serta hormat-menghormati harus menjadi asas perhubungan sesama pelajar.
“Kami juga menggesa pihak universiti untuk mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan dan memastikan perlindungan yang menyeluruh terhadap keselamatan semua mahasiswa.
“Pihak berkuasa diharapkan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbukti terlibat dalam insiden ini, bagi memberi mesej jelas bahawa buli dan keganasan tidak akan dibiarkan tanpa tindakan,” katanya.
Amir turut berkata Alumni MPPK berharap masyarakat umum tidak membuat spekulasi berhubung insiden ini dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan siasatan dengan telus.
“Marilah kita bersama-sama menolak budaya buli dan membina institusi pendidikan yang aman dan harmoni,” katanya.
Semalam, polis mengesahkan menerima laporan kejadian itu pada 8.40 malam Jumaat lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, kejadian pada 10.45 malam 21 Okt lalu berlaku ketika pelajar tahun satu itu berada di tepi padang kawad selepas selesai panggil nama.
Lelaki 19 tahun itu dilaporkan retak tulang rusuk dan belakang akibat dipijak seorang pelatih tahun tiga UPNM. Mangsa sedang dirawat di hospital.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai. – WILAYAHKU