KEMASUKAN pelaburan asing yang dimeterai hasil lawatan delegasi Malaysia ke luar negara diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kesan penting terhadap kedudukan imbangan pembayaran negara.
Pelaburan asing yang diluluskan akan melibatkan pengaliran modal masuk bagi tujuan pembangunan projek pelaburan yang merekodkan aliran masuk bersih RM40.4 bilion ke dalam akaun kewangan negara pada tahun lalu.
Malah aktiviti sepanjang projek pelaburan berlangsung iaitu mengimport input dan barangan pengantara yang digunakan di dalam proses pengeluaran serta mengeksport output yang dihasilkan mencapai lebihan sebanyak RM22.8 bilion seperti yang direkodkan ke dalam akaun semasa bagi tahun yang sama.
Pakar ekonomi kewangan dan antarabangsa, Profesor Madya Dr Mohd Naseem Niaz Ahmad berkata momentum yang ditunjukkan itu dapat memberikan kesan positif pada imbangan pembayaran negara.
“Ini juga mencerminkan bahawa ekonomi negara berada pada tahap yang memberangsangkan dan mampu untuk menguruskan perbelanjaan luar negara dengan baik.
“Keadaan ini sekali gus dapat menghindarkan negara daripada berdepan krisis imbangan pembayaran seperti yang dialami oleh Sri Lanka,” katanya kepada Wilayahku.
Mohd Naseem berkata, ini jelas menunjukkan usaha menarik pelaburan asing melalui lawatan ke negara luar memainkan peranan yang penting terhadap prestasi ekonomi negara.
Katanya, peningkatan keyakinan pelabur ini membuktikan Malaysia mempunyai persekitaran perniagaan kondusif dan berdaya maju.
“Pasaran buruh dengan tenaga kerja yang boleh dilatih dan kedudukan strategik dalam rantaian bekalan serantau dan global membolehkan Malaysia mencipta pelbagai peluang dalam meraih pulangan dan keuntungan pelaburan yang baik.
“Oleh itu, risiko dan implikasi kewangan dalam meneroka peluang ekonomi antara negara adalah satu prinsip yang perlu diterima dalam usaha untuk menjana ekonomi skala bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan kerana the greater the risk, the greater the return,” katanya.
Selain itu beliau berkata, amalan bagi pemimpin sebuah negara untuk mengadakan lawatan rasmi atau menghadiri persidangan antarabangsa ke negara-negara luar merupakan platform penting dalam mengukuhkan hubungan diplomasi, keselamatan, pendidikan dan budaya antara negara.
Ini juga katanya, menjadi inisiatif terbaik bagi merintis kepelbagaian peluang ekonomi rentas sempadan yang mampu membawa kesan pengganda terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
“Ini jelas sepertimana dapat diterjemahkan Perdana Menteri melalui siri lawatannya ke beberapa buah negara sejak memegang tampuk pemerintahan negara pada November 2022, yang mana berjaya merekodkan potensi pelaburan bernilai RM436.2 bilion sehingga Oktober 2024.
“Ia menunjukkan dalam tempoh masa yang singkat, Misi Penggalakan Pelaburan yang direncana hasil usahasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjaya mengikat komitmen pelaburan yang merangkumi beberapa sektor utama ekonomi antaranya elektrik dan elektronik (semikonduktor), kimia (petrokimia dan produk kimia) dan ekonomi digital (Pusat Data),” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh MIDA, jumlah pelaburan asing yang telah diluluskan pada tahun lalu adalah berjumlah RM188.4 bilion berbanding RM163.3 bilion pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak 15.4 peratus.
Jumlah ini katanya, disasarkan untuk terus meningkat pada tahun ini apabila jumlah pelaburan asing yang telah diluluskan dari Januari sehingga Jun 2024 mencatatkan RM74.6 bilion atau peningkatan kira-kira sebanyak 18 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.
Katanya, laba daripada peningkatan berterusan ini sudah pasti dapat memacu terus pembangunan ekonomi negara dengan jumlah projek keseluruhan yang telah diluluskan setakat Jun 2024 adalah sebanyak 2,948 dengan Austria, Singapura dan China merupakan penyumbang utama dengan kapasiti pelaburan masing-masing sebanyak RM30.1 bilion, RM16.5 bilion dan RM9.5 bilion. – WILAYAHKU