Berita

Aktiviti menarik menanti warga kota di Taman Tasik Titiwangsa

ISMADI (tiga kanan) merasmikan Karnival KL Ceria 2024.
- Diterbit 12 Oktober 2024 1:34 PM MYT

ORANG ramai dijemput untuk memeriahkan Karnival KL Ceria 2024 yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa hari ini.

Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi), Ismadi Sakirin berkata penganjuran kali ini adalah berkonsepkan karnival dengan pelbagai pengisian tambahan diadakan sepanjang hari.

“Di sebelah pagi kita tawarkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan mewarna, permainan tradisional, karnival jualan dan macam-macam lagi.

“Manakala sebelah petang pula akan dimeriahkan dengan pelbagai persembahan dari Kumpulan Kristal X, Ani Mayuni, Oya Suria, Reloveution, Kombo Orkestra Kuala Lumpur dan ramai lagi.

“Lebih istimewa, acara ini akan dikemudi oleh pengacara ceria kita, Nadia Hasnan,” katanya kepada Wilayahku.

Dalam pada itu, Ismadi turut menjemput warga Kuala Lumpur mahupun sekitarnya untuk sama-sama memeriahkan acara.

“Ia bukanlah acara tertutup dan terbuka kepada orang ramai.

“Jangan lepaskan peluang untuk bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan sambil menikmati pelbagai aktiviti menarik di karnival ini! Bawa semangat ceria anda dan bersedia untuk hari yang penuh dengan keceriaan dan keriangan,” ujarnya.

Karnival KL Ceria 2024 diadakan bertempat di Astaka Taman Tasik Titiwangsa hari ini sehingga pukul 7 malam ini.

Pelbagai pertandingan dan permainan tradisional menarik menanti anda. Masuk adalah percuma dan orang ramai hanya perlu ‘walk in’ sahaja untuk menyertai aktiviti yang disediakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas