Berita

Aktivis gesa pihak berwajib supaya proaktif dalam pengurusan keadaan jalan

- Diterbit 6 Januari 2021 10:01 AM MYT

SEORANG aktivis hari ini menggesa pihak berwajib supaya proaktif dalam menjalankan tanggungjawab mereka berikutan kemalangan yang berlaku akibat kerosakan jalan raya baru-baru ini.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata ramai yang sebelum ini telah mengetengahkan keperluan pasukan bergerak untuk mengenal pasti lopak di jalan raya  daripada menunggu orang ramai membuat aduan.

“Apabila rakyat membayar cukai, mereka tidak berminat untuk mengetahui tanggungjawab spesifik siapa untuk memperbaiki jalan raya. Mereka hanya mahu jalan raya dipastikan selamat oleh pihak berkuasa. Lagipun, siapa yang membayar wang berhak menentukan bagaimana ia dibelanjakan.

Ini satu gesaan kepada pihak berkuasa supaya proaktif daripada menjadi reaktif. Untuk menjadi proaktif ialah bertindak sebelum tragedi berlaku. Untuk menjadi reaktif ialah bertindak selepas tragedi berlaku.  Sebanyak manapun permohonan maaf dan pampasan diberikan tidak akan mampu mengurangkan kesedihan dialami keluarga mangsa, “ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee mengimbau kembali dua kemalangan — seorang lelaki berusia 31 tahun yang maut dalam satu kemalangan selepas motosikalnya melanggar  jalan yang tidak diturap dengan baik semalam dan seorang warga emas lelaki berusia 75 tahun yang meninggal dunia selepas terhumban daripada motosikalnya yang terlanggar sebuah lopak awal minggu ini.

Beliau berkata kemalangan ini terjadi tidak lama selepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin terjatuh daripada basikalnya yang dikatakan terlanggar lopak jalan  bulan lepas.

“Bagaimanapun pihak berkuasa segera memohon maaf, adakah permohonan maaf yang sama akan muncul untuk keluarga mangsa terbaru ini?, tanya beliau. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas