Berita

AKPS berjaya halang 279 warga asing, catat rekod harian tertinggi

- Diterbit 3 Jun 2025 3:30 PM MYT

SERAMAI 279 warganegara asing dari Bangladesh, Pakistan dan India yang tidak memenuhi syarat kemasukan ke Malaysia berjaya dihalang masuk ke negara ini serta dihantar pulang oleh Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) KLIA semalam.

AKPS memaklumkan jumlah itu merupakan rekod harian tertinggi bagi kes Not-To-Land (NTL) sejak penubuhan Pasukan Pemantau KLIA pada tahun 2023 sekali gus mencatat kejayaan terbesar oleh agensi tersebut.

“Trend kemasukan warganegara asing secara tidak sah ini dilihat semakin meningkat, khususnya ketika waktu kemuncak ketibaan dan musim cuti umum di Malaysia.

“Keadaan kesesakan dan aliran pelawat yang tinggi sering dimanipulasi oleh segelintir individu untuk menyelinap masuk dengan menyalahgunakan kemudahan kemasukan,” ujar kenyataan itu.

Tegas AKPS, langkah pengusiran tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam memperketat kawalan keselamatan sempadan, sekali gus memastikan hanya individu yang benar-benar layak dan memenuhi semua syarat sahaja dibenarkan memasuki negara ini.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen AKPS dalam melaksanakan pemantauan secara tegas dan konsisten, demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas