AKADEMI Kenegaraan Malaysia (AKM) menyasarkan penglibatan 200,000 golongan muda di negara ini bagi mengikuti program latihan advokasi politik bagi membendung membendung budaya politik ekstrimis dalam kalangan generasi muda.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata sehingga November lalu, AKM telah melaksanakan sebanyak 391 program advokasi politik dan melibatkan kira-kira 131,277 orang belia yang telah didedahkan mengenai sistem pemerintahan negara dan kenegaraan kepada golongan muda.
“Antara program yang dilaksanakan adalah Malaysia Future Leaders School (MFLS); Kursus Pengurusan Kepimpinan Alumni MFLS (KPKA); Program Kepimpinan Altruistik; Program Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI; dan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI,” katanya.
Zaliha berkata demikian ketika menjawap soalan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh pada sesi jawapan lisan di Dewan Negara semalam.
Beliau berkata kerajaan sentiasa memandang serius pemahaman rakyat mengenai advokasi politik dan pengamalan politik matang merupakan asas utama bagi membendung budaya politik ekstrimis terutamanya dalam kalangan anak muda selain penglibatan golongan muda dalam pendemokrasian negara harus dipertingkatkan.
“Melalui AKM, Pejabat Perdana Menteri, penerangan tentang sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan di negara Malaysia ini dilaksanakan di dalam program-program latihan kenegaraan.
“Program ini telah diperbanyakkan dan diperluaskan bukan sahaja kepada golongan anak muda malah di setiap peringkat umur rakyat Malaysia,” katanya.-WILAYAHKU