Berita

Ajaran dibawa GISBH sesat, menyeleweng

- Diterbit 14 November 2024 4:31 PM MYT

JAWATANKUASA Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran yang dibawa GISBH adalah sesat kerana mempunyai ciri-ciri menyeleweng daripada ajaran Islam.

Perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat MKI Kali ke-125 yang bersidang pada 24 hingga 26 September lalu setelah yakin dan berpuas hati dengan hujah-hujah dan fakta-fakta yang dikemukakan oleh penyelidik.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Dr. Nooh Gadot berkata, ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa mempunyai ciri-ciri penyelewengan dan ia berdasarkan beberapa fakta.

Fakta tersebut adalah:

i) Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi/Syeikh Muhammad Suhaimi merupakan Imam Mahdi;

ii) Asaari bin Muhammad akan muncul bersama Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi/Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai pembantunya di akhir zaman;

(iii) Asaari bin Muhammad boleh memberi syafaat kepada pengikutnya;

(iv) Air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai keberkatan;

(v) Mengamalkan ekonomi riba ashi yang mempunyai unsur perhambaan yang mana keperluan pengikut akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat dan sebagai balasan, mereka dikehendaki berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang upah; atau

(vi) mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang telah difatwakan sesat.

Menurut beliau, mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan selain dilarang berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikutnya atau ejen.

“Mana-mana orang yang berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikut ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana dinyatakan itu hendaknya bertaubat dengan taubat nasuha,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Nooh berkata, tiada seorang pun boleh memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebarkan, mengedarkan, menggantukan atau menerbitkan apa-apa poster, buku, majalah, risalah atau apa-apa bahan bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dalam apa-apa bentuk keluaran atau ulangannya.

Katanya, ini termasuk apa-apa filem, audio visual, rakaman, laman sesawang, media cetak atau media elektronik yang mengandungi ciri-ciri ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana fakta yang dinyatakan.

“Mana-mana orang adalah dilarang daripada bersubahat dalam melakukan mana-mana perkara yang dilarang seperti dinyatakan,” katanya.

Beliau menambah, MKI mencadangkan agensi kerajaan berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri membantu melaksanakan proses istitabah (bertaubat) dan memberikan peruntukan atau pembiayaan yang bersesuaian bagi tujuan tersebut.

Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah menyembah maklum pandangan hukum tersebut kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi MKI dan seterusnya ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-267.

“Dalam hal ini majlis mengambil maklum mengenia pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa negeri-negeri boleh mempertimbang keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas