Artikel

Air tidak mengalir!

- Diterbit 16 Disember 2024 5:05 PM MYT

SETELAH sekian lama bersabar dan bertolak ansur‚ mulai bulan ini (Disember), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak memotong bekalan air penyewa unit Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) yang culas membayar tunggakan sewa.

Kawan-kawan Kedai Kopi memahami kenapa DBKL perlu bertindak tegas. Tunggakan sewa para penyewa PPR dan PA milik DBKL di ibu kota sudah terlalu banyak. Sehingga kini jumlah tunggakan mencecah RM31.5 juta.

Ada kawasan yang tunggakan sewa mencecah sehingga ratusan ribu ringgit. Ada individu yang tunggakan sewanya mencecah ribuan atau belasan ribu ringgit. Setelah pelbagai peringatan dan amaran diberi untuk melunaskan tunggakan‚ penyewa tetap berdegil.

Kerana itu sudah sampai masa tindakan tegas diambil sebagai pengajaran. Rasailah sendiri nanti kesusahan apabila air tidak mengalir pada paip rumah. Jangan salahkan orang lain atau menuding jari kepada DBKL kerana peringatan dan peluang yang cukup sudah diberi.

Tunggakan berlaku apabila penyewa tidak ambil peduli untuk membayar dari peringkat awal. Penghuni bagai tinggal secara percuma. Lama-kelamaan sewa yang tidak dibayar menimbun.

Adalah sangat tidak wajar bagi penyewa enggan membayar sewa memandangkan sewa PPR dan PA adalah rendah dan dalam kemampuan. Ini sejajar dengan matlamat DBKL menyediakan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah di ibu kota.

Pihak DBKL telah memberi banyak masa. Penghuni culas diberi nasihat dan ingatan‚ malah diberi peluang untuk membayar tunggakan secara ansuran. Tetapi ramai tetap berdegil. Kerana itu kawan-kawan Kedai Kopi anggap tindakan DBKL memotong air sangat wajar.

Para penyewa mesti bersyukur berpeluang menyewa PA atau PPR memandangkan masih ramai menunggu. Oleh itu‚ apabila diberi peluang‚ jadilah penyewa yang baik. Bayar sewa setiap bulan. Jika degil DBKL boleh mengarah mereka mengosongkan unit dan beri kepada yang menunggu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas