Berita

Ainaa ingin bergelar juara dunia

AKSI Ainaa ketika kejohanan baru-baru ini.
AKSI Ainaa ketika kejohanan baru-baru ini.
- Diterbit 9 Ogos 2019 9:43 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

BAKAT dalam sukan yang dimiliki oleh pemain skuasy kebangsaan, Noor Ainaa Amani Ampandi, 17, mula dikesan oleh bapanya yang juga merupakan jurulatih skuasy, Ampandi Omar, 51 ketika dia berusia lima tahun.

Bermula saat itu, dia sering mengikut bapanya ke gelanggang skuasy hampir setiap hari. Biarpun ketika itu dia masih kecil namun itu bukanlah alasan untuknya tidak mengikuti kelas latihan yang dijalankan.

“Selain saya, ayah turut melatih dua orang abang untuk bermain bersama. Kini mereka sudah pun bergelar jurulatih di Persatuan Skuasy Kuala Lumpur sementara saya pula aktif sebagai atlet Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pada permulaan, dia tidak menyangka mampu pergi jauh namun apabila melihatkan ke­seriusan bapa­nya, dia mula bercita-cita untuk bergelar pemain nombor satu dunia seperti Datuk Nicol Ann David.

“Mereka ba­nyak memberi sokongan dan membantu diri saya dalam sukan. Tanpa mereka tidak mungkin saya berada di tahap seperti ini.

Bakal beraksi di Kejohanan Dunia Remaja yang akan berlangsung di Bukit Jalil awal bulan ini, anak bongsu daripada tiga orang adik beradik ini sedang berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan prestasi dan mengelakkan kecederaan serius.

“Ini perkara yang perlu diberi perhatian. Jika terlibat dengan kecederaan, secara tidak langsung ia boleh menyebabkan prestasi menurun serta merta,” ujarnya.

Kongsinya lagi, dia pernah berdepan dengan dugaan apabila mengalami kecederaan sehari sebelum perlawanan pada tahun 2017 apabila ‘tendon achilles’ koyak. Disebabkan hal itu, dia terpaksa berehat selama lebih sebulan.

Bercerita tentang kejayaan manis yang pernah dikecapinya, pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil ini berjaya merangkul dua pingat emas dalam kategori individu dan pasukan di Piala Asia Tenggara di Manila April lalu.

“Itu merupakan salah satu memori indah sepanjang bergelar atlet. Alhamdulillah berkat usaha gigih dan tidak kenal erti putus asa, kejayaan pasti akan mengiringi,” ujarnya.

Ditanya sama ada ingin mengikuti jejak bapa dan kedua-dua abangnya bergelar jurulatih, pemain kebangsaan ini mengakui buat masa ini dia tidak pernah terfikir ke arah tersebut memandangkan dia ingin membawa nama Malaysia ke peringkat dunia.

Bakal duduki SPM

Berkongsi jadual latihan yang padat setiap hari, atlet di bawah kendalian jurulatih Kenny Foo ini mengakui selain daripada latihan dia kini sedang fokus untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun ini.

“Setiap hari Isnin hingga Sabtu pada sebelah pagi dan petang saya akan terlibat dengan latihan. Masa yang selebihnya pula akan gunakan untuk mengulang kaji pelajaran. Biarpun agak sibuk namun saya perlu memasti­kan mendapat keputusan cemerlang.

“Saya mahu bergelar atlet yang berpendidikan tinggi. Dalam masa sama, saya juga berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat. Itu merupakan impian sejak kecil,” ujarnya.

Katanya lagi, dia juga sentiasa memasang hasrat untuk tinggal di luar negara bagi memudahkannya untuk mendapatkan tempat dalam sukan skuasy di luar negara.

“Bukan mudah untuk menempatkan diri. Bukan sahaja di luar negara bahkan di dalam negara sendiri. Ini kerana, terdapat ramai atlet-atlet yang jauh lebih bagus serta mempamerkan aksi cemerlang di sini. Untuk itu, saya harus kekalkan prestasi agar sentiasa berada di atas,” katanya kepada Wilayahku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas