SETELAH tiga tahun ditangguhkan, anugerah yang mengiktiraf karya muzik tanah air, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-24, bakal kembali dianjurkan pada 13 September ini bertempat di Arena Of Stars, Genting Highlands.
Sebagai pembaharuan, AIM 24 memperkenalkan tiga kategori baharu iaitu Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik dan Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik.
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Jawatankuasa Penganjur AIM 24, Rosmin Hashim berkata ia diperkenalkan berikutan terdapat banyak karya berkualiti dalam kategori itu yang dihasilkan.
Rosmin pada masa sama menepis dakwaan wujud dasar pilih kasih apabila memperkenalkan kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik.
Menjelaskan keperluan kategori itu diperkenalkan, Rosmin berkata ini kerana ramai penyanyi tempatan menjalin kolaborasi dengan komposer luar negara seperti Erni Zakri menerusi lagu Masing-Masing dan Ara Johari dengan lagu Menjaga Jodoh Orang Lain.
Justeru kata Rosmin sia-sia karya yang baik seperti itu tidak dipertandingkan kerana tiada kategori yang bersesuaian.
“Sebelum ini kita tidak ada kategori itu, tapi kita mempunyai banyak karya bagus hasil kolaborasi bakat tempatan dengan komposer luar. Jadi sayang jika karya sebagus itu tidak dipertandingkan hanya disebabkan tiada kategori sesuai.
“Ini bukan soal dasar pilih kasih, sebaliknya AIM mahu mengiktiraf usaha dan penat lelah bakat tempatan kita yang bersusah payah menjalin kerjasama dengan komposer atau penyanyi luar.
“Jadi kami buka peluang itu untuk komposer dan artis luar negara,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media pelancaran AIM 24 di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, baru-baru ini.
Sementara itu, pemenang kategori Album Terbaik bakal menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM200,000.
Tahun ini sebanyak RM700,000 dana DKK di bawah My Creative Ventures dan Kementerian Komunikasi diperuntukkan kepada 11 pemenang kategori utama berbanding RM320,000 kepada empat pemenang pada AIM 23.
AIM 24 bakal dipancarkan secara langsung melalui stesen RTM yang bertindak selaku penyiar rasmi.
Tahun ini sebanyak 31 kategori dipertandingkan namun hanya 11 kategori iaitu Artis Baru Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Terbaik, Album Terbaik dan Video Muzik Terbaik layak menerima hadiah kemenangan, dana DKK.
Kategori utama lain termasuk Vokal Lelaki Terbaik, Vokal Wanita Terbaik, Vokal Kumpulan Terbaik, Kugiran Terbaik, Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik, Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem/Drama, Lagu Rock Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Rap/Hip Hop Terbaik, Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik dan Lagu Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara.

Selain itu, anugerah khas iaitu Anugerah Sri Wirama masih dikekalkan.
Rosmin memberi jaminan anugerah berprestij yang mula diperkenalkan sejak 1993 itu akan diadakan setiap tahun dan tidak akan lagi ditangguhkan seperti mana sebelum ini.
Kataya segala bajet bagi penganjuran anugerah itu sudah diketepikan bagi memastikan AIM terus kekal relevan.
“Kami akan pastikan AIM diadakan setiap tahun. Ahli Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) sudah sebulat suara menggunakan royalti daripada kutipan royalti Public Performance Malaysia (PPM) untuk penganjuran acara ini.
“Tanpa tajaan sekalipun, AIM akan tetap diteruskan pada masa akan datang. Jika ada tajaan, acara akan dibuat dalam skala besar. Jika tidak , kami akan anjurkan secara kecil-kecilan saja, yang penting AIM tetap diteruskan setiap tahun,” katanya. – WILAYAHKU