Aidiladha: JAWI Labuan benarkan tiga agensi kerajaan, empat NGO laksana ibadah korban
JAWI Labuan benarkan lapan kawasan lapang untuk ibadah penyembelihan korban esok. Gambar: BERNAMA

Aidiladha: JAWI Labuan benarkan tiga agensi kerajaan, empat NGO laksana ibadah korban

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan telah memberikan kebenaran khas kepada tiga agensi kerajaan dan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di pulau ini untuk melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha, esok.

Ketua Penolong Pengarah Kanan JAWI Labuan Sharidah Zainal Abidin berkata tiga agensi kerajaan itu adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Menurut beliau NGO pula membabitkan jawatankuasa Masjid Nurul Iman Kampung Sungai Bedaun; Kelab Kebajikan dan Rekreasi Kakitangan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan; Aman Palestin Berhad dan Persatuan Badan Kebajikan Pejabat Mufti.

Jelasnya lapan kawasan lapang telah diluluskan untuk melaksanakan aktiviti penyembelihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu empat balai bomba dan penyelamat, balai polis Labuan; Kompleks Perumahan Kastam, Bukit Kuda; Dewan Komuniti Kampung Sungai Bedaun (Masjid Nurul Iman); dan Kawasan Lapang Kampung Lajau bersebelahan Masjid Sultan Muhammad V.

“Penguatkuasaan pemantauan SOP oleh PDRM, Jabatan Sukarelawan Malaysia, unit penguat kuasa Perbadanan Labuan (PL) serta cawangan penguatkuasaan JAWI akan dilakukan di semua lokasi melapah dan memotong dilaksanakan,” katanya kepada Bernama di sini.

Sharidah berkata pihak yang telah diberikan kebenaran khas itu dikehendaki menyediakan kod QR MySejahtera, alat pengimbas suhu, cecair pembasmi kuman di tempat masing-masing termasuk di lokasi sembelih dan melapah selain menanda kawasan melapah dan memotong dengan pita merah putih atau hitam kuning.

Tambahnya adalah diwajibkan kepada agensi, jawatankuasa masjid, surau, persatuan berdaftar, dengan bilangan haiwan korban dua ekor dan kurang, untuk melaksanakan sembelihan haiwan korban di rumah sembelihan Ruminan Patau-Patau.

“Proses lapah, potong dan pembungkusan daging di lokasi yang telah mendapat kebenaran adalah berdasarkan kepada sokongan dan penilaian PL, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Labuan dan PDRM selepas lawatan tapak diadakan,” katanya.

Menurut Sharidah kebenaran khas kepada pihak-pihak dengan bilangan haiwan korban tiga ekor dan ke atas boleh dilakukan di kawasan lapang, juga berdasarkan sokongan dan penilaian PL, DVS Labuan dan PDRM selepas lawatan tapak diadakan.

“Kita telah bersetuju untuk membenarkan penyembelihan haiwan tidak melebihi lima ekor sehari bagi setiap lokasi,” katanya sambil menegaskan kehadiran yang dibenarkan semasa penyembelihan dan melapah adalah tidak melebihi 12 orang termasuk petugas.

“Petugas yang dibenarkan terdiri daripada mereka yang telah mendapat dua dos suntikan vaksin COVID-19 dan kesemua petugas hendaklah memakai pelitup muka, apron plastik pakai buang, sarung tangan getah serta pelindung muka sepanjang proses melapah dan memotong daging korban berlangsung. – BERNAMA

CATEGORIES