SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu bergelar Datuk kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM200,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali di Sabah.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 9.45 dan 11.50 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah dan juga di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Kedua-dua suspek yang terdiri daripada seorang ahli perniagan dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar 2023 dan 2024.
“Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek disyaki saling meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM200,000 antara satu sama lain bagi membantu menguruskan permohonan lesen cari gali di Sabah” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, suspek yang merupakan seorang ahli perniagaan telah dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM100,000 (deposit sebanyak RM10,000) dengan dua orang penjamin.
Seorang lagi suspek iaitu ADUN turut dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin. – WILAYAHKU