AHLI Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan membuat satu laporan polis terhadap sekumpulan individu serta pihak yang berkaitan terhadap fitnah dan tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadapnya yang disiarkan di laman media sosial.
Beliau berkata laporan polis itu dibuat agar tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Saya berharap pihak polis dapat menyiasat perkara ini dengan segera dan mengambil tindakan,” katanya selepas membuat laporan polis malam tadi di Balai Polis Setapak.
Terdahulu, menurut Zahir laporan polis dibuat susulan petang semalam beliau telah menonton sebuah video di media sosial TikTok dan Facebook yang memfitnahnya berhubung dengan dakwaan mengabaikan peniaga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari.
Beliau berkata video tersebut tular di media sosial dan didapati tuduhan tidak berasas itu telah memfitnahnya sebagai Ahli Parlimen.
“Melalui video tersebut, saya dapati terdapat sekumpulan individu yang saya faham adalah merupakan peniaga di PPR Wangsa Sari.
“Mereka menimbulkan rasa tidak berpuas hati atas saman dan notis pengosongan tapak yang mereka terima daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.
Jelas Zahir, antara tuduhan yang mereka lemparkan dalam video tersebut, termasuklah menyatakan beliau gagal untuk bertemu dengan peniaga berkaitan notis tersebut.
Beliau menegaskan tuduhan itu sama sekali tidak berasas.
“Saya sendiri telah mengarahkan pegawai-pegawai saya untuk adakan pertemuan dengan pihak yang terlibat dan sehingga kini, mereka masih sedang berusaha secara aktif untuk membantu menyelesaikan isu tersebut.
“Sekurang-kurangnya dua pertemuan bersama wakil penjaja PPR Wangsa Sari telah diadakan oleh pegawai saya,” katanya.
Mengulas lanjut, Zahir berkata pertemuan pertama telah diadakan pada 13 September yang lalu, sekitar pukul 3 petang.
Manakala pertemuan kedua pula berlangsung pada 18 September lalu, pada pukul 12 tengah hari.
“Kedua-dua pertemuan ini berlaku di pejabat saya di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Wangsa Maju dan saya ada bukti pertemuan ini memang berlaku.
“Ada laporan minit mesyuarat. Jadi, isu gagal adakan pertemuan ini tidak sepatutnya timbul,” katanya.
Tambah Zahir isu kedua pula beliau dituduh tidak mengambil tindakan terhadap kilang haram yang dimaksudkan dalam video tersebut.
Beliau berkata tuduhan itu sama sekali tidak benar.
“Saya bersama-sama dengan pasukan saya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan, kami bekerja rapat dengan pihak DBKL untuk selesaikan isu ini secara menyeluruh.
“Saya katakan menyeluruh, kerana saya mahukan penyelesaian jangka panjang yang baik untuk semua pihak. Bukan penyelesaian jangka pendek, yang mungkin akan timbulkan isu lain di masa akan datang.
“Bagi tuduhan ini, ada bukti berlaku komunikasi dan perbincangan antara pegawai saya, dengan pihak agensi terlibat,” katanya.
Zahir juga berkata beliau telah dituduh tidak prihatin terhadap masalah yang dialami oleh penjaja PPR Wangsa Sari itu.
Menurut beliau ia adalah tuduhan palsu dan merupakan fitnah yang jelas.
“Saya dan pasukan saya sentiasa berusaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk, termasuk mengaturkan pertemuan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Usaha sedang dijalankan untuk menangani masalah yang dibangkitkan, termasuk isu kilang haram dan notis perobohan.
“Kesemua tuduhan ini adalah tidak berasas dan bertujuan untuk menjejaskan kredibiliti saya sebagai Ahli Parlimen Wangsa Maju serta mencemarkan nama baik saya,” katanya.
Menurut Zahir semua tuduhan itu seolah-olah cuba memberi gambaran bahawa beliau langsung tidak mahu ambil peduli dengan isu tersebut.
Beliau menegaskan peranannya sebagai Ahli Parlimen hanyalah sebagai pemudah cara.
Katanya, kuasa penguatkuasaan ada pada pihak DBKL dan sebagai pemudah cara, beliau akan usahakan dalam ruang kapasiti yang ada.
“Hasil semakan pihak saya juga mendapati, salah seorang individu yang memfitnah saya dalam video tersebut juga pernah ada rekod pernah disaman fitnah sehingga membuat permohonan maaf,” katanya.
Zahir juga berkata akan bertindak untuk mengambil nasihat peguam untuk tindakan undang-undang selanjutnya. – WILAYAHKU