Berita

Ahli Parlimen Gua Musang umum sokong kepimpinan PM Anwar

Kredit foto: RTM
- Diterbit 8 November 2023 4:11 AM MYT

AHLI Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa hari ini.

Ketua Bersatu Gua Musang itu berkata ia dibuat setelah meneliti dan mendengar Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri dengan matlamat utama untuk memangkinkan pemulihan ekonomi di samping meringankan beban kewangan rakyat Malaysia.

“Keputusan saya ini adalah bertujuan untuk memastikan kebajikan penduduk di Parlimen saya terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang saya mohon untuk dilaksanakan di Parlimen saya dalam tempoh penggal perkhidmatan saya.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada inisiatif-inisiatif kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya dalam kenyataan media di Facebooknya.

“Sejujurnya saya tidak berniat untuk keluar atau mengkhianati parti Bersatu tetapi demi memastikan Parlimen Gua Musang seiring dengan pemerintahan Persekutuan, adalah wajar untuk saya bersama di dalam saf kepimpinan Putrajaya yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Buat masyarakat Gua Musang yang sangat saya kasihi marilah sama-sama berdoa semoga Allah sentiasa memberkati bumi bertuah Gua Musang dan kita semua mendapat limpahan pembangunan sebagaimanan kita harapkan,” katanya.

Mohd Azizi menang kerusi Parlimen itu selepas menumbangkan calon Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li pada PRU15.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bersatu dari Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman turut menyatakan sokongan terhadap Anwar. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas