Fokus

Agong titah budaya buli tidak berlarutan

Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Pertahanan‚ Mohamed Khaled Nordin di Istana Negara. Foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
- Diterbit 25 November 2024 5:43 PM MYT

ISU buli di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang menggemparkan negara baru-baru ini turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menitahkan Kementerian Pertahanan supaya memberi perhatian serius terhadap perbuatan terbabit dengan tidak membiarkan gejala buli daripada terus berlarutan di ALK.

Titah Sultan Ibrahim, ini kerana buli bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar tetapi juga mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi di negara ini.

“Kes buli di ALK UPNM bukan pertama kali dilaporkan berlaku, malah sebelum ini sudah terjadi beberapa kali sehingga meragut nyawa.

“Di dalam pasukan tentera latihan keras adalah perkara biasa bertujuan membina kekentalan mental dan jiwa yang kuat dan bukan ke tahap buli atau menyeksa seseorang itu sehingga mendatangkan kecederaan fizikal atau meragut nyawa. Ini tindakan tidak berperikemanusiaan,” titah baginda.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya memandang serius kejadian buli yang dilaporkan berlaku di UPNM.

“Saya minta kerjasama semua pengurusan universiti tidak mengambil ringan berhubung kes-kes berkaitan buli ini.

“Walaupun sehingga setakat ini kita belum dapat apa-apa laporan atau kes yang terkait dengan UPNM berlaku di universiti-universiti lain, namun ia perlu tindakan proaktif bagi memastikannya (kejadian buli) tidak berlaku,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata‚ Kementerian Pendidikan (KPM) menangani setiap aduan melibatkan kes buli di sekolah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kementerian itu.

“Aduan buli ini kita tangani mengikut SOP dan kebanyakan selesai dalam tempoh yang ditetapkan, ini yang kita mahu iaitu aduan tersebut sampai kepada pihak kita.

“Jadi kita boleh sertakan data, ambil tindakan intervensi serta-merta dan memastikan keadilan dapat diberikan pada semua pihak. Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang tegas dalam soal buli ini,” katanya.

Fadhlina turut mengingatkan agar kepimpinan tertinggi pentadbir sekolah untuk tidak menyembunyikan sebarang kes berkaitan buli yang berlaku dalam kalangan murid.

“Kita ada terima laporan (berkenaan pimpinan tertinggi menyembunyikan kes buli di sekolah) dan kita tidak melihat ia sebagai satu perkara yang perlu disembunyikan.

“Kita akan ambil tindakan tegas kepada pimpinan pentadbir sekolah yang bertindak menyembunyikan kes ini kerana kita tidak mahu pihak sekolah tidak mematuhi garis panduan kita,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas