Berita

Agensi umrah disiasat, MOTAC arah henti ambil tempahan baharu

- Diterbit 16 Januari 2025 10:42 AM MYT

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang menjalankan siasatan terhadap sebuah syarikat pelancongan berlesen yang didakwa gagal menerbangkan jemaah umrah pada Selasa.

MOTAC turut menyarankan supaya syarikat berkenaan menunaikan tempahan jemaah yang telah membuat bayaran penuh dan menerbangkan mereka mengikut jadual penerbangan seperti dipersetujui.

“Bagi yang memohon pembatalan pakej umrah pula, syarikat berkenaan diminta memulangkan wang kepada jemaah yang berbuat demikian.

“Buat masa ini, syarikat tersebut telah dinasihati agar tidak mengambil tempahan daripada jemaah umrah baharu sehingga menyelesaikan semua tempahan terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, MOTAC menasihati jemaah yang terlibat membuat laporan polis dan membuat aduan rasmi kepada MOTAC melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), di pautan https://motac.spab.qov.my untuk membantu siasatan dan membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

MOTAC turut mengingatkan syarikat pelancongan yang terlibat dengan pakej umrah supaya jujur dan telus dalam melaksanakan perniagaan.

“Isu seperti kegagalan menerbangkan jemaah mengikut perancangan asal dan kegagalan memulangkan wang apabila berlaku perubahan akan menjejaskan industri berkenaan.

“Ini bukan sahaja akan mencemarkan imej industri tetapi juga membawa kepada kehilangan keyakinan dalam kalangan jemaah untuk memilih syarikat pelancongan berlesen tempatan untuk menunaikan umrah,” katanya.

Semalam media melaporkan lebih 300 jemaah umrah terkandas apabila mereka dijanjikan untuk diterbangkan ke Tanah Suci namun ditunda syarikat pengendali umrah.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas