Berita

Agensi pantau perancangan secara proaktif

ZALIHA (kiri) ketika meninjau lokasi pelancongan di Kuala Lumpur sebagai persiapan menjelang Kepengerusian ASEAN 2025.
- Diterbit 30 Disember 2024 12:09 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menegaskan komitmen setiap agensi untuk terus memantau prestasi terhadap semua perkara yang telah dirancang.

Beliau membuat penegasan itu ketika mempengerusikan mesyuarat terakhir tahun ini bersama ketua-ketua agensi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) di Menara Seri Wilayah, Putrajaya, baru-baru ini.

Jelasnya, penegasan juga diberikan perhatian kepada langkah-langkah yang proaktif yang perlu diambil terhadap semua perkara yang dirancang berkenaan.

“Antara intipati mesyuarat adalah untuk memperhalusi semua tindakan dan cabaran yang memerlukan penyelesaian segera,” katanya.

Beliau memberitahu ia melibatkan isu-isu terkait penguatkuasaan KL Strike Force dan juga fokus Wilayah Persekutuan dalam menghadapi Tahun Kepengerusian ASEAN 2025 tidak berapa lama lagi.

Katanya, mesyuarat tersebut diadakan dua kali sebulan bertujuan untuk memastikan semua agensi di bawah JWP bekerja sederap dan selangkah.

Ini tambahnya bagi merealisasikan agenda pembangunan yang lebih inklusif dan mampan.

Sebelum ini, JWP dipertanggungjawabkan untuk menyelaras urusan logistik sebagai usaha melicinkan operasi kerajaan menjelang Tahun Kepengerusian ASEAN 2025.

JWP turut berada di bawah task force yang diketuai Wisma Putra bagi menangani sebarang masalah khususnya melibatkan ibu negara.

Difahamkan lebih 300 program akan dilaksanakan sepanjang Kepengerusian ASEAN dan Kuala Lumpur menjadi tumpuan dan yang paling banyak program.

Terdahulu, Zaliha bersama pegawai-pegawai JWP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turun meninjau lokasi-lokasi di sekitar ibu negara termasuk tumpuan pelancong bagi meneliti ketersediaan Kuala Lumpur untuk Kepengerusian ASEAN 2025.

Turut sama dalam tinjauan itu Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Ismadi Sakirin dan Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Mohamad Hamim. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas