Berita

Agenda perkasa, martabat mutu pendidikan dan pelajar UiTM dibawa ke KEB 2024

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 26 Februari 2024 1:40 PM MYT

AGENDA bagi memperkasakan dan memartabatkan mutu pendidikan pelajar Universiti Teknologi MARA(UiTM) merupakan antara perkara yang akan dibawa oleh Kementerian PendidikanTinggi (KPT) ke Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, yang dijadualkan berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac ini.

Bercakap kepada Bernama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang dikhususkan kepada golongan bumiputera, kualiti pendidikan serta penghasilan graduan perlu dipertingkat dari semasa ke semasa bagi memastikan graduan yang dilahirkan memenuhi kehendak pasaran.

“Kita (KPT) telah bincangkan bahawa UiTM ini kita perlu perkukuhkan kerana kita mahu pastikan kualiti pendidikan dalam kalangan bumiputera dapat dipertingkatkan.

“Ini yang akan kita tekankan dan perkasakan. Jadi kita akan bawa agenda UiTM ini ke KEB,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

UiTM yang ditubuhkan pada 1956 merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang hanya menerima kemasukan penuntut bumiputera khususnya dari kawasan pedalaman dan golongan B40.

Sehingga kini UiTM telah melahirkan lebih sejuta graduan meliputi kira-kira 515 program pengajian di 34 kampus di seluruh negara.

Selaras dengan penganjuran KEB 2024 yang bersifat inklusif itu, Mustapha berkata KPT mengambil peluang untuk mengetengahkan agenda UiTM bagi meningkatkan kompetensi institusi pendidikan itu di peringkat global serta memacu kebolehpasaran graduan UiTM.

“UiTM ini jantung untuk menjadikan negara maju, maka kita kena lahirkan bakat tempatan yang memang diperlukan negara. Oleh itu, hasrat ini perlu kita tekankan dan perkasakan untuk kita pastikan UiTM dapat sediakan akses pendidikan berkualiti dan menjamin kelangsungannya,” katanya.

Pada 30 Jan lepas, sebuah portal melaporkan bahawa Menteri PendidikanTinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah bersetuju untuk membawa agenda UiTM ke KEB. Keputusan itu dicapai pada sesi kunjungan hormat Majlis Bumiputera Bertindak, yang merupakan sebuah badan bebas bagi memantau tataurus dan tatakelola UiTM.

Mengulas penganjuran KEB 2024, Mustapha menyifatkan kongres itu sebagai lebih terangkum yang bukan sahaja melibatkan penyertaan masyarakat Melayu dan bumiputera, malah turut melibatkan penyertaan masyarakat Cina, India serta wakil dari dewan perniagaan Melayu, Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak serta komuniti Orang Asli.

Mustapha berkata pendekatan yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertujuan supaya kongres yang menyasarkan penyertaan lebih 3,000 peserta tersebut, dilihat tidak hanya tertumpu kepada perbincangan mengenai masalah yang dihadapi golongan bumiputera sahaja.

“Contohnya kalau kita bercakap isu kemiskinan, ia tidak berlaku dalam kalangan bumiputera sahaja tetapi ada juga masyarakat lain yang hadapi masalah sama. Jadi ini yang sedang cuba dibawa perdana menteri (Anwar) supaya kita memberi suatu perspektif baharu dalam menangani isu kemiskinan di negara ini,” katanya.

Berkongsi harapan terhadap KEB 2024, Mustapha berkata semua pihak perlu memberi sokongan kepada kongres itu yang kali pertama diadakan pada 7 Jun 1965.

“Kita harap ramai dapat hadir ke KEB. Ini penting untuk kita menilai kembali bagaimana status ekonomi, pendidikan dan sosial bumiputera, maka kita dapat lihat di mana kedudukan kita..apa yang perlu ditambah baik,” katanya.

Pada 14 Feb lepas ketika Majlis Prapeluncuran KEB 2024, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata sebanyak 10 kluster meliputi 10 sektor akan diwujudkan pada KEB 2024 iaitu Reformasi Pendidikan dan Modal Insan; Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional Pilihan Kerjaya Utama dan Pengukuhan Industri Halal.

Kluster lain ialah Pembangunan Desa dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli; Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat; Daya Saing Perusahaan Bumiputera; Penguasaan Teknologi Baharu; Felda dan Tanah Wilayah; Sosioekonomi Bumiputera Sabah serta Sosioekonomi Bumiputera Sarawak.

Bertemakan “Positif, Progresif, Inovatif”, KEB 2024 ialah landasan penting dalam mencari jalan lebih serius bagi memperkasakan ekonomi bumiputera khususnya dalam aspek teknologi baharu dan pelan futuristik untuk generasi akan datang. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas