PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara digesa berbincang berhubung isu menghentikan hukuman penjara ke atas pesalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dilakukan hasil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Semalam beredar tentang surat dari Ketua Pengarah Penjara (Zulkifli Omar) berhubung kesesakan di penjara dan sebagainya.
“Justeru pihak Jabatan Peguam Negara, PDRM dan Jabatan Penjara berbincang supaya isu ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.
Semalam, sebuah portal berita melaporkan surat Zulkifli kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh yang
meminta mahkamah supaya berhenti menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ini bagi mengelakkan kesesakan di penjara yang mana adalah “mustahil” untuk melaksanakan langkah menjaga jarak antara satu sama lain selain tidak mengetahui tahanan baharu yang dihantar ke penjara dijangkiti Covid-19 atau tidak.
Dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri menegaskan, Kementerian Luar sedang mengambil tindakan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang kini berada di pusat kuarantin India. – WILAYAHKU