PENYANYI yang juga vokalis AANTU Band, Adzrin Adzhar mengaku kesal dengan tindakan segelintir peminat fanatik Aina Abdul yang memperlekehkannya.
Mereka mula mempertikaikan dan mengkritik secara negatif bakat Adzrin apabila dia menyampaikan lagu Terus Hidup dalam sebuah video di media sosial dan YouTube.
“Sebelum ini saya ada menerima job daripada TikTok Malaysia untuk menyanyikan lagu Terus Hidup sebaik diangkat menjuarai Anugerah Juara Lagu pada tahun lalu.
“Setelah beberapa hari video tersebut dikongsikan di laman YouTube, saya perasan terdapat beberapa komen daripada peminat fanatik Aina.
“Bukannya saya tak pernah dikritik. Saya amat alu-alukan kritikan kerana pandangan pendengar itu penting untuk karier saya sebagai penyanyi.
“Apatah lagi bergelar guru vokal, semestinya saya mengharapkan pendapat orang luar untuk menambah baik ilmu yang dimiliki.
“Cuma yang membuat saya ralat, cara peminat fanatik terbabit memberikan komen adalah terlalu naif dan sangat tidak profesional.
“Siap dia seru (tag) nama kawan-kawannya agar berkomplot meninggalkan komen berbaur menghina, bukannya membina,” dedah penyanyi yang popular menerusi lagu Pujaan Malaya itu.
Baginya, kritikan bukanlah menjadi masalah kerana tiada penyanyi yang sempurna, namun soal adab perlu ada dalam diri seseorang.
“Saya rasa sesiapa pun bersetuju dengan pendapat ini. Adab lebih utama daripada ilmu. Jika seseorang itu tahu menjaga tatasusila, automatik apa sahaja pandangannya akan dihormati,” tegasnya. – WILAYAHKU