Selebriti

“Ada ketikanya rasa lemah semangat”, YonnyBoii bangkit demi cinta

- Diterbit 19 Oktober 2021 4:24 AM MYT

PENYANYI dan komposer remaja yang semakin digilai ramai, YonnyBoii mengaku turut terkesan seperti orang lain sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 23, dia tidak terlepas dihantui perasaan negatif apabila tiada tawaran nyanyian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun Yonnyboii terus bangkit demi cinta kepada keluarga, tunang dan kerjaya.

“Saya juga cuba mengimbangi hal fizikal dan mental sebaik mungkin. Ada ketikanya rasa lemah semangat itu menerpa. Tapi saya cuba untuk tidak terlalu larut dengannya.

“Masa ‘down’ itu macam-macam dalam fikiran. Termasuk fikir tiada tawaran kerja dan bagaimana nak teruskan kelangsungan hidup. Namun saya percaya rezeki itu ada dengan izin-Nya.

“Saya pun menyara keluarga. Adik nombor dua pun tinggal dengan saya. Tiga lagi adik tinggal dengan keluarga,” katanya yang terus bangkit apabila muncul dengan karya terbaharu.

Selepas tampil dengan album mini berjudul Yonny hujung tahun lalu, pelantun lagu Sakit ini turut melancarkan album penuh pada 8 Oktober baru-baru ini.

Album yang diberi judul Yonny (Deluxe Version) itu menghimpunkan sembilan karya daripada album mini terdahulu selain dua lagu baharu sebagai trek bonus iaitu Tak Sangka dan Angel.

Bagi lagu Tak Sangka, Yonnyboii tidak keseorangan. Sebaliknya berkolaborasi dengan ZynAkal dan Asyraf Nasir sebagai komposer dan penyanyi.

Diaju mengenai keberanian tampil dengan album di era pandemik COVID-19, anak sulung daripada lima beradik itu tidak melihat ia sebagai sesuatu yang pelik.

“Tak sangka sebenarnya daripada album mini ke penuh ini, saya melancarkan di era pandemik. Bagi saya ia bukan satu kesalahan mandatori. Malah di saat ini muzik kekal jadi terapi buat kita semua. Ramai yang terus mendengar muzik, selain menonton pelbagai medium hiburan.

“Saya tak kisah melawan arus. Jika ada artis yang berkira-kira nak lancarkan album, kenapa tidak saya melakukannya. Saya selesa mencabar diri melawan arus kebiasaan.

“Selama ini pun saya sering dilihat ‘unik’. Sekurang kurangnya saya ada kenangan melancarkan album pada waktu sebegini,” katanya lagi.

Yonnyboii percaya, biarpun perlu menunggu tiga tahun untuk muncul dengan album penuh, itu tidak pernah melunturkan semangatnya.

“Saya percaya penantian itu sangat berbaloi. Tak perlu tergesa-gesa. Andai tiba waktunya, pasti kesempatan itu akan ‘mendarat’.

“Jujur sejak awal fasa pembabitan seni lagi, saya mendambakan album penuh. Tapi saya ikut saja peredaran masa dan kesesuaian yang mana lagu single demi single dilancarkan. Itu juga ‘trend’ pemasaran yang diguna pakai syarikat rakaman,” katanya.

Kata artis kelahiran Perak itu, dua buah lagu baharu itu masing masing disiapkan pada awal tahun 2020 dan Ogos lalu.

“Tak Sangka sebenarnya idea saya, ZynAkal dan Asyraf sebelum pandemik datang. Lagu Angel pula ilham saya terlintas tiba-tiba mengenai gambaran seorang bidadari.

“Ikutkan saya ada lagi banyak karya yang terperam. Hanya menunggu masa sesuai untuk dikongsi saja. Macam tahun lalu, saya boleh kata agak aktif melancarkan single demi single.

“Tapi tahun ini, langkah sama tak boleh diteruskan. Pandemik ini ternyata memberi kekangan dan ia di luar kawalan. Ikutkan nak lancarkan sesuatu yang lagi besar tahun ini. Nampak gayanya kena simpan ke tahun depan,” katanya yang mengimpikan mahu muncul dalam konsert berskala besar.

“Kerinduan nak buat persembahan dengan khayalak ramai hingga kini terus membuak buak. Tapi semua itu masih samar dengan keadaan kes harian COVID-19 yang turun naik.

“Begitu juga dengan impian mengadakan konsert yang belum menjadi kenyataan. Besar harapan saya agar keinginan itu dapat direalisasikan,” tambahnya lagi.

Album Yonny (Deluxe Version) boleh didengarkan di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas