PENYANYI popular Shiha Zikir kini menyerlahkan sisi berbeza apabila muncul dengan lagu terbaharu berjudul Renjana.
Istimewanya tentang lagu tersebut, ia ditulis sendiri oleh Shiha berdasarkan kenangan hidup bersama arwah bapa yang sangat disayangi, Allahyarham Mohd Zikir Abdul Hamid.
Pada masa sama, Shiha turut bertindak selaku komposer dengan bantuan Zimi Sofazr.
Bagi Shiha atau nama lengkapnya Nurshiha Mohd Zikir, 38, lagu hasil kerjasama Shiha Zikir Empire dan Sony Music Entertainment Malaysia itu memberi cabaran tersendiri kerana dia sering berasa sebak dan sukar mengawal emosi setiap kali ingin mendendangkannya.
“Lagu kali ini memang tak mudah, itu yang boleh saya katakan. Bukan apa, kisah yang saya sampaikan dalam lagu ini memang dilalui sendiri. Ketika proses rakaman pun, saya banyak menangis sebab teringat arwah abah. Ketika arwah masih ada dulu, saya memang rapat dengannya.
“Jadi, sejak dia meninggal dunia tahun 2008, hidup saya sudah tidak sama kerana rasa rindu itu tak pernah hilang, malah ia semakin bertambah hingga hari ini,” kata Shiha membuka bicara.
Mendengar lagunya sahaja memang tidak cukup kerana perjalanan kehidupan Shiha bersama arwah bapa dipersembahkan sepenuh jiwa dalam video muzik Renjana.
“Apa yang anda lihat dalam video muzik, itu semua kisah benar walaupun babakbabak kecil seperti memancing ikan. Memang dulu saya selalu pergi memancing dengan abah.
“Selain itu, kalau anda perhatikan babak saya bertolak untuk pergi uji bakat sebuah program realiti, abah ada hulurkan walkman untuk saya bawa ke Kuala Lumpur. Itu pun memang berlaku, dan lebih sayu kalau saya teringat, arwah abah sanggup berhutang untuk beli walkman itu, katanya, dia mahu saya selesa untuk berlatih menyanyi.
“Namun ketika itu belum ada rezeki, saya tak dapat masuk pertandingan tersebut.
“Arwah abah pun tak sempat melihat saya jadi penyanyi. Saya masuk pertandingan Mentor pun, dia sudah tiada,” ujar Shiha.
Meskipun Allahyarham tidak sempat melihatnya di kaca TV, lebih-lebih lagi memenangi anugerah seperti di Anugerah Juara Lagu (AJL), Anugerah MeleTop Era (AME) dan pelbagai lagi, Shiha tetap meneruskan perjalanan.
“Hingga hari ini, saya hanya bawa semangat arwah abah saja dan saya lakukan ini untuk dia. Kalau arwah abah tak ada, maka tak ada lah juga seorang penyanyi bernama Shiha Zikir,” tuturnya dalam nada sebak.
Justeru, Shiha amat berharap agar orang ramai dapat menerima lagu Renjana dengan baik serta dapat merasai kisah hidup yang cuba disampaikan.
“Saya harap selepas orang ramai menonton video muzik ini, mereka lihat perjalanan saya dan dapat terima lagu ini dengan baik.
“Saya juga baru berjinak-jinak sebagai komposer, harap orang ramai sudi beri sokongan. Di kesempatan ini juga saya mahu ucapkan terima kasih kepada sahabat saya Zimi yang sudi membantu saya dalam proses menggubah lagu ini,” kata Shiha.
Sebagai sebahagian daripada kempen lagu Renjana, Shiha ada mengundang beberapa individu untuk sama-sama berkongsi pengalaman kehilangan insan tercinta dalam beberapa video temu bual.
“Saya buat sesi perkongsian itu dengan kenalan dan followers yang sudi berkongsi kisah hidup mereka. Ternyata kami saling memahami, memang sangat menyentuh hati dan kami kerap mengalirkan air mata.
“Saya juga ingin pesan kepada semua, hargailah ibu bapa kita terutama bagi yang masih ada kedua-duanya. Jadilah anak yang berbakti sepenuh hati kepada mereka.
“Bukan apa, kalau suatu hari nanti mereka sudah tiada, rasa itu sangatlah sakit hingga sukar diungkap dengan kata-kata,” katanya. – WILAYAHKU