AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) akan mengambil tindakan segera terhadap laporan siasatan keputusan siasatan salah laku melibatkan pegawai AADK Negeri Sembilan yang dikeluarkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh memaklumkan, tidak sesekali berkompromi atau melindungi mana-mana kakitangan yang terlibat dengan salah laku dan pelanggaran integriti.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana kakitangan jika didapati bersalah berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada.
“AADK sentiasa mengingatkan kepada semua kakitangan untuk melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan
berintegriti dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan berdasarkan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS),” ujarnya dalam kenyataan.
Tambahnya, sebagai sebuah agensi penguatkuasa, AADK akan terus bekerjasama erat dengan EAIC dalam usaha peningkatan tadbir urus yang baik dalam agensi khususnya yang melibatkan siasatan terhadap sebarang aduan
salah laku dan integriti dalam kalangan kakitangan AADK. – WILAYAHKU