JATUH bangun dalam perniagaan adalah lumrah perlu dilalui oleh sesiapapun yang mahu bergelar usahawan berjaya. Tidak serik dengan dugaan tersebut, pelakon Shahz Jaszle memilih untuk memperkenalkan rangkaian minyak wangi dengan label Tulus Fragrance By Shahz Jaszle.
Kongsinya kepada Wilayahku, ini bukan kali pertama dia mencuba berniaga. Namun, pengalaman lalu mengajarnya satu perkara penting iaitu berniaga tidak boleh dilakukan seorang diri.
“Dulu saya buat semua sendiri. Tiada pasukan, tiada sistem yang teratur. Penat dan akhirnya saya berhenti. Tapi sekarang saya kembali dengan mindset yang berbeza. Saya ada tim yang kuat, dan itu kunci utama,” katanya.
Apa yang lebih istimewa, pasukan itu terdiri daripada ahli keluarga terutama kakaknya yang sudah lama berkecimpung dalam perniagaan barangan kosmetik.
“Kolaborasi ini memberikan nafas baharu dan memberi keyakinan kepada saya untuk lebih serius membina empayar bisnes. Apabila kakak ajak bergabung, saya terus setuju. Dia ada pengalaman dalam produk kecantikan dan tahu selok-belok pasaran. Kami satukan kepakaran masing-masing dan lahirlah Tulus Fragrance By Shahz Jaszle,” tambahnya.
Kini, bersama ahli keluarga, dia lebih yakin terjun ke dalam dunia niaga. Namun, ia tetap tidak lari daripada cabaran sebenar yang perlu ditempuhi sebagai seorang usahawan.
“Daripada cuaca yang tidak menentu, logistik, hingga ke urusan jualan harian semuanya kami lalui bersama. Cabaran tu memang banyak, lebih-lebih lagi baru mula menapak, tapi saya fikir, ini semua proses belajar.
“Selaras dengan trend perniagaan masa kini, kami mengambil pendekatan digital dengan memasarkan produk menerusi platform e-dagang dan media sosial.

“Hari ini, bisnes tak boleh lari daripada platform digital. Orang beli guna telefon, cari review di Instagram, dan kongsi pengalaman di TikTok. Jadi kami pastikan kehadiran digital kami kukuh dari awal,” jelasnya.
Berkongsi lanjut tentang Tulus Fragrance By Shahz Jaszle, haruman tersebut menawarkan 10 pilihan wangian untuk lelaki dan wanita dengan rekaan dan aroma yang sesuai untuk cita rasa masyarakat moden.
“Saya obses dengan minyak wangi. Bagi saya, bau yang sedap boleh buat kita lebih selesa. Jadi saya cipta sesuatu yang saya sendiri pakai dan bangga nak kongsi dengan orang lain.
“Kesemua produk ini dipasarkan secara dalam talian membolehkan pelanggan dari seluruh Malaysia membuat pembelian dengan mudah. Tulus Fragrance By Shahz Jaszle lambang semangat, keberanian dan kekuatan keluarga.
“Bagi saya, inilah masanya untuk membina legasi yang lebih kekal, dan menjadi bukti bahawa kejayaan perlukan usaha, bukan sekadar nama,” jelasnya.
Menyedari realiti industri hiburan yang tidak menentu, dia tampil dengan langkah lebih bijak dengan memanfaatkan populariti untuk membina jenama sendiri.
“Saya percaya, sebagai anak seni pun kita kena ada pelan jangka panjang. Dunia lakonan ini ada pasang surutnya. Saya mahu bina sesuatu yang boleh saya wariskan dan kembangkan.
“Langkah ini bukan sahaja menunjukkan sisi keusahawanan, malah saya mahu memberi inspirasi kepada anak seni lain untuk berfikir di luar kotak dan mempelbagaikan sumber pendapatan.
“Dengan sokongan peminat dan usaha yang konsisten, saya sentiasa optimis bahawa perniagaan ini mampu berkembang ke peringkat lebih tinggi dan kekal relevan di pasaran,” katanya sambutan yang diterima daripada pelanggan sangat menggalakkan. – WILAYAHKU