Fitnah vs Fakta

Nik Nazmi hormati keputusan

NIK Nazmi ketika bersama kakitangan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam selepas mengumumkan peletakan jawatan anggota Kabinet.
- Diterbit 4 Julai 2025 6:30 PM MYT

KECOH baru-baru ini, apabila Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dikatakan kekal dengan pendiriannya untuk melepaskan tugas sebagai anggota Kabinet.

Walaupun terdapat saranan yang memintanya untuk tidak meneruskan hasrat meletak jawatan, Nik Nazmi kekal dengan pendiriannya.

Pendirian itu dikongsikannya di Instagram di mana beliau dilihat menyampaikan ucapan pada satu majlis perpisahan, difahamkan berlangsung di kementerian itu di Putrajaya.

Maka bermacam-macam andaian kononnya Nik Nazmi kecewa dan merajuk dengan kekalahannya dalam Pemilihan PKR 2025 pada Mei lalu.

Apa yang mengejutkan, terdapat segelintir warganet mendakwa kononnya bekas Naib Presiden PKR itu tidak berpuas hati dengan politik kotor atau politik wang yang sedang ‘ghairah’ berlaku dalam PKR.

Semua tuduhan itu tidak berasas sama sekali kerana Nik Nazmi mempunyai pendirian tersendiri untuk meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet.

Malah beliau yang gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa berkata beliau menggunakan saluran yang betul berhubung keputusan pemilihan itu.

Dalam satu program temu bual podcast menerusi Youtube minggu lalu, Nik Nazmi turut menyifatkan keputusan diambilnya tidak mudah selepas menimbang beberapa perkara termasuk mandatnya dalam PKR.

“Saya fikir untuk menjadi ahli politik, menghormati mandat itu adalah penting. Saya sudah tidak dapat mandat parti, jadi sukar untuk saya teruskan (tugas sebagai menteri),” katanya.

Nik Nazmi juga menyatakan, pelbagai keistimewaan dinikmati jika beliau memilih untuk meneruskan tugasnya sebagai menteri, namun mendakwa keputusan berundur adalah yang paling terbaik.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan harapannya agar Nik Nazmi mempertimbang semula keputusannya untuk meletak jawatan Kabinet.

Pada 28 Mei lalu, Nik Nazmi mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkuat kuasa 4 Julai.

Ia menyusuli kira-kira tiga jam selepas Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Ahli Parlimen Pandan pada hari sama, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi, berkuat kuasa 17 Jun. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas