ISU peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menjadi bualan dalam masyarakat dan warganet sejak kebelakangan ini. Ke mana sahaja pergi, semua bercakap tentang SST.
Apa yang tidak sedap didengar apabila terdapat segelintir warganet mendakwa kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh terima kritikan dan cepat ‘koyak’.
Ini susulan beberapa ucapan Anwar yang dilihat kononnya beremosi apabila ramai yang tidak setuju dengan peluasan skop SST.
Jangan tuduh sebegitu, kerana Perdana Menteri seorang pemimpin yang berjiwa besar, mempunyai kesabaran tinggi dan hati terbuka menerima kritikan.
Baru-baru ini, Anwar menegaskan kerajaan bersikap terbuka terhadap kritikan berhubung SST namun menuntut agar pandangan diberikan secara berfakta dan bertanggungjawab.
Menurutnya keputusan memperluaskan skop SST dibuat dengan teliti agar tidak membebankan majoriti rakyat.
“Ada yang dakwa SST menyebabkan kadar elektrik naik, termasuk keluhan beberapa mahasiswa. Saya tidak pasti sama ada mereka benar-benar terkesan. Jika universiti mengenakan caj elektrik kepada pelajar, perkara itu perlu diteliti semula kerana setahu saya, universiti awam dikecualikan.
“Kebebasan bersuara bukan tiket untuk maki hamun dan sebar fakta yang salah. Saya tiada masalah ditegur atau dikritik, asalkan berlandaskan fakta,” jelasnya dalam amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, baru-baru ini.
Sementara itu, jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan kerajaan sentiasa terbuka dengan kritikan.
Buktinya adalah kerajaan mendengar suara dan keluh kesah rakyat apabila mengecualikan buah-buahan import tertentu daripada peluasan skop SST.
“Kebiasaannya, bila Kementerian Kewangan umumkan sesuatu perkara ia akan berpegang kepada pendirian itu dan tidak akan berganjak,” katanya pada satu acara di Pantai Dalam.
Baru-baru ini, Perdana Menteri berkata kerajaan telah memutuskan untuk mengecualikan epal dan oren import daripada peluasan skop SST.
Beliau berkata kerajaan mengakui bahawa ramai dalam kalangan golongan miskin dan kumpulan berpendapatan B40 membeli buah-buahan import ini kerana ia mampu milik.
Kementerian Kewangan sebelum ini berkata peluasan skop SST mulai 1 Julai, termasuk kadar 5% ke atas buah-buahan import, disasarkan secara strategik untuk menggalakkan permintaan pertanian tempatan dan memperkukuh keselamatan makanan.
Sementara itu, Fahmi turut memuji keputusan Suruhanjaya Tenaga untuk menurunkan tarif elektrik, dengan berkata langkah itu menunjukkan kerajaan benar-benar melaksanakan reformasi yang memberi manfaat kepada rakyat. – WILAYAHKU